Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kotak penutup mudah direka

    Oleh Amri HTZ

     

    MEMELIHARA haiwan dalam rumah setentunya memerlukan ruangan untuknya membuang najisnya. Dengan hanya meletakkan bekas untuk membuang najis haiwan seperti kucing setentunya kurang elok untuk dilihat walaupun dengan menggunakan pasir kumbahan khas. Bagi menyembunyikannya selain boleh dijadikan penghias sesebuah ruang, ikuti beberapa langkah mudah untuk mereka kotak penutup bekas najis haiwan kesayangan anda.

    Peralatan dan barangan yang diperlukan

    Beberapa barangan dan peralatan pertukangan diperlukan untuk mereka kotak penutup litter kucing kesayangan anda iaitu papan lapis dengan ketebalan ½ inci, 1 ½ inci wide boards untuk digunakan pada bahagian bumbung, paku, gam kayu, mesin jigsaw, mesin pemotong kayu, dua keping engsel, kertas wax, cat, berus cat, pensel, pita pengukur, gerudi, pengepit kayu, kertas pasir, mesin pencetak dan pembaris/sesiku.

    Langkah penting perlu dilakukan

    Bagi memastikan penutup bekas najis kucing yang direka bersesuaian dengan bekas sisa kucing anda, ukur bekas yang digunakan sebelum membuat pemotongan. Catatkan ukuran yang diambil daripada bekas menggunakan pita pengukur dengan memastikan empat keping kayu diperlukan untuk dijadikan bahagian depan dan belakang (19 inci) dan bahagian sisi kanan dan kiri (15.5 inci) kotak penutup. Daripada ukuran bekas yang digunakan, pastikan ia melebihi ukuran 2 inci pada setiap bahagian ruang daripada saiz sebenar bekas yang digunakan.

    Setelah mendapatkan ukuran, lakarkan ukuran yang telah direkodkan pada papan lapis yang telah disediakan. Lukiskan dimensi kesemua empat sudut tersebut dan potong menggunakan mesin pemotong kayu atau hanya menggunakan mesin jigsaw. Pada bahagian atas papan lapis bahagian depan dan belakang, pastikan anda memotong bentuk tiga segi untuk bahagian bumbung dengan potongan 25 darjah. Haluskan sudut potongan menggunakan kertas pasir agar tidak mencederakan anda atau kucing nanti.

    Pada langkah seterusnya, cetak/lakarkan pintu kotak penutup pada kertas wax yang akan digunakan pada bahagian depan. Teknik ini merupakan ‘photo transfer’ bagi memudahkan anda menggunakan pelbagai bentuk pintu yang diinginkan. Saiz lubang pintu yang akan digunakan di sini adalah bebas mengikut ukuran yang diperlukan mengikut besar kucing. Bentuk muka kucing akan digunakan pada projek ini bagi memberikan kesesuaian selain memberikan reka bentuk yang berlainan pada kotak penutup tersebut. Jika anda ingin menggunakan bentuk pintu yang berlainan atau yang agak mudah, hanya lakarkan bentuk empat segi atau bentuk bulat untuk memudahkan proses rekaan.

    Setelah melakarkan/mencetak bentuk kepala seekor kucing pada kertas wax, lekatkan kertas wax pada papan lapis dan gosok permukaan atas dengan sekeping kad plastik dengan menumpukan lakaran yang telah dicetak. Setelah gambar berjaya dipindahkan, tebuk lubang pada bahagian dalam gambar menggunakan gerudi. Lubang yang ditebuk ini bagi memastikan mata mesin jigsaw dapat digunakan untuk memotong lakaran melalui bahagian dalam.

    Selesai memotong pintu kotak penutup sisa tersebut, cantumkan kesemua bahagian yang telah dipotong dengan menggunakan paku. Setiap sudut cantuman perlu disapukan dengan gam kayu agar ia kukuh. Gunakan paku 1 inci atau 1 ½ inci untuk mencantumkan kayu agar tidak mudah terlerai apabila anda mengendalikannya sebelum gam mengering. Tinggalkan cantuman tersebut lebih kurang 24 jam untuk gam mengering.

    Sementara menunggu gam mengering, anda boleh meneruskan projek pembuatan bumbung pada kotak penutup tersebut. Potongkan papan yang telah disediakan menjadi ukuran lebar 4 inci dengan kepanjangan mengikut saiz kotak penutup najis anda. Bagi projek ini, lebar kotak adalah berukuran 1 ½ kaki. Sebanyak lapan keping kayu diperlukan bagi rangka bahagian tengah, manakala untuk rangka asas (sisi) sebanyak empat keping diperlukan dengan ukuran 2 kaki.

    Sebelum mencantumkan rangka bumbung, pada bahagian rangka sisi, pastikan pada bahagian hujung pertemuan (bahagian atas) dipotong dengan sudut 25 darjah. Kemudian cantumkan potongan kayu seperti dalam gambar dengan menggunakan gam kayu dan kepit menggunakan pengepit kayu. Berikan tekanan menggunakan pengepit kayu minimum selama satu jam. Setelah itu pasangkan engsel di bahagian tengah cantuman bumbung.

    Apabila gam telah diyakini mengering, proses mengecat boleh dimulakan dengan memastikan kotak tersebut bebas dari minyak dan habuk. Penggunaan warna cat perlu mengikut sesebuah ruangan di mana ia akan diletakkan agar berpadu dengan warna ruangan tersebut. Setelah cat mengering, kucing ada akan mempunyai ruangan baru dan cantik untuk membuang najisnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda