Koulibaly tangguh pesta Juventus

MILAN, 15 April – Pertahanan Napoli dari Senegal, Kalidou Koulibaly menjaringkan dua gol untuk membantu Napoli menewaskan Chievo 3-1, sekali gus menangguhkan kejuaraan Serie A Juventus dan mengesahkan penyingkiran Chievo.

Juventus yang tewas 2-1 di SPAL Sabtu lalu dan berdepan Ajax dalam aksi Liga Juara-Juara minggu depan, memerlukan hanya satu mata untuk memastikan gelaran kelapan berturut-turut Serie A.

Mereka juga boleh bergelar juara jika Napoli kendalian Carlo Ancelotti yang berada di tangga kedua gagal menewaskan Chievo dan mampu mencatat rekod baharu muncul juara ketika musim berbaki enam perlawanan.

Bagaimanapun pertahanan tinggi lampai Senegal, Koulibaly menjaringkan gol sebelum dan selepas jaringan Arkadiusz Milik yang meledak gol pertamanya dalam liga musim ini.

Kapten Chievo, Cesar meledak gol tunggal pasukannya sejurus sebelum tamat permainan.

Skuad Massimiliano Allegri perlu menunggu sehingga minggu depan di mana mereka akan melayan kunjungan Fiorentina dan berpeluang menyamai rekod meraikan kejuaraan di laman sendiri dengan baki lima perlawanan.

“Kemenangan ini meringankan sedikit beban kami,” kata Ancelotti menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Europa minggu depan di mana mereka ketinggalan 2-0 di belakang Arsenal.

Inter Milan mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga dengan kemenangan 3-1 ke atas pasukan kedua tercorot Frosinone dan mendahului AC Milan dengan kelebihan lima mata. – AFP

Koulibaly (kanan) meraikan jaringan bersama rakannya Dries Mertens semasa menentang Chievo di Verona, kelmarin. – AFP