Koulibaly tidak kesal pilih Senegal

LIBREVILLE, 10 Jan – Kalidou Koulibaly mengakui dia menunggu dan menunggu panggilan pulang dari Perancis sebelum memilih beraksi untuk Senegal dan tidak kesal dengan keputusannya walau sesaat pun.

Pemain pertahanan berusia 25 tahun itu dilahirkan di Perancis dan mewakili negara kelahirannya pada peringkat bawah 20 tahun, tetapi menerima panggilan jurulatih Aliou Cisse pada September 2015 bagi membantu Lions of Teranga untuk layak dalam persaingan Piala Negara-Negara Afrika.

“Saya lama menunggu panggilan Les Blues,” kata bintang Napoli itu. “Saya tahu terdapat kemungkinan pada masa ketibaan saya di Napoli, tetapi saya perlu membuat keputusan saya sekarang dan saya tidak kesal.

“Senegal memiliki pasukan luar biasa. Terdapat pemain muda, kebanyakan mereka beraksi di Perancis dan sekarang di England.”

Setelah menunggu panggilan yang tidak kunjung tiba, Koulibaly kagum mendengar jurulatih Perancis Didier Deschamps memetik namanya dalam satu temu bual televisyen Perancis pada tahun lepas apabila ditanya mengenai pemain yang dipantaunya.

Kalidou Koulibaly ketika menyarung jersi Napoli. Koulibaly (kiri) tidak menyesal memilih Senegal kerana terlalu lama menunggu panggilan pulang dari Perancis. – AFP
Kalidou Koulibaly ketika menyarung jersi Napoli. Koulibaly (kiri) tidak menyesal memilih Senegal kerana terlalu lama menunggu panggilan pulang dari Perancis. – AFP

“Saya menyaksikan program itu tanpa memberikan tumpuan dan kemudian saya mendengar nama saya. Dia mungkin terlepas sesuatu. Saya tidak menyalahkannya untuk itu,” kata Koulibaly, yang sekarang memberikan tumpuan penuh bagi membantu negaranya.

Pasukan tangga kedua pada 2002 itu tidak pernah memenangi Piala Negara-Negara Afrika sebelum ini.

Bagaiman pun, kehadiran pemain seperti Idrissa Gueye, Cheikhou Kouyate, Sadio Mane, Moussa Sow dan Koulibaly dalam skuad mereka bermakna mereka adalah salah satu pasukan pilihan untuk berada dalam perlawanan di Gabon tahun ini.

Dalam Kumpulan B juga terdiri daripada pasukan Algeria, Tunisia dan Zimbabwe, Senegal seharusnya mara ke pusingan kalah mati, sesuatu yang mereka gagal lakukan di Equatorial Guinea dua tahun lalu. – AFP