Kovac seorang pejuang – Matthaeus

DORTMUND, 14 OGOS – Legenda Bayern Munich, Lothar Matthaeus, percaya jurulatih yang dikritik teruk Niko Kovac (bawah) mampu membina satu era di kelab itu dan mengikut jejak langkah jurulatih-jurulatih hebat seperti Ottmar Hitzfeld dan Jupp Heynckes.

Dalam satu temu bual bersama AFP menjelang perlawanan pembukaan Bundesliga menentang Hertha Berlin awal pagi Sabtu ini, pemenang Piala Dunia 1990 itu berkata Kovac mampu mengulangi pencapaian jurulatih-jurulatih hebat Bayern dan menerajui kelab itu bagi kegemilangan Liga Juara-Juara.

Kovac berada di bawah tekanan dalam tahun pertamanya di Bayern musim lepas dan berdepan kritikan berterusan di dalam bilik persalinan, meskipun menerajui kelab itu merangkul gelaran berganda domestik.

“Dia memenangi gelaran berganda dalam situasi sukar tahun lepas. Membuktikan bahawa dia mampu berjuang,” kata Matthaeus.

Matthaeus menjangkakan jurulatih dari Croatia itu akan mendapati dirinya dalam situasi lebih mudah kali ini selepas pemain-pemain senior seperti Arjen Robben, Mats Hummels dan Franck Ribery meninggalkan Munich.

“Saya fikir pemain-pemain muda yang dimilikinya kini mempunyai potensi, kualiti dan mentaliti yang dimahukannya,” kata Matthaeus. – AFP