KPDNHEP Sarawak jamin bekalan ayam cukup

KUCHING, 20 MEI – Kementerian Perdagangan Dalam Ne-geri dan Hal Ehwal Pengguna  (KPDNHEP) cawangan Sarawak memberi jaminan bekalan ayam di negeri itu mencukupi bagi menghadapi musim perayaan Aidilfitri dan Hari Gawai yang bermula hujung minggu ini.

Pengarahnya Datuk Stanley Tan berkata lawatan ke tiga ladang ayam utama di negeri ini iaitu K&L Farming Industries Sdn Bhd, QL Live-stock Farming Sdn Bhd dan Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd  mendapati bekalan ayam mampu menampung pemintaan di seluruh negeri dengan purata pengeluaran keseluruhan 57,000 ekor sehari.

Beliau juga berkata harga ayam bersih standard bagi tempoh Januari hingga Mei di Sarawak adalah pada paras normal antara RM6.90 dan RM8.50 sekilogram.

“Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapati harga bagi daging ayam bersih standard masih berada pada aras normal dan tiada kenaikan harga  seperti yang ditularkan dalam media sosial baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, beliau mengingatkan peniaga agar mematuhi Skim Harga Musim Perayaan bagi Aidilfitri dan Gawai yang masing-masing bermula pada 20 dan 28 Mei sehingga 3 Jun.

Sehingga 18 Mei lepas, KPDNHEP Sarawak telah mengeluarkan 31 notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap rantaian pembekal ayam iaitu di peringkat runcit, pembekal dan peladang di seluruh negeri ini.

“Peniaga yang didapati menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 14 AKHAP 2011,” katanya. – Bernama