KPN: 37 kematian, 10 masih hilang di kawasan banjir

SHAH ALAM, 23 DIS – Sebanyak 37 kematian dan 10 laporan orang hilang direkodkan di kawasan banjir di seluruh negara sehingga semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata daripada jumlah itu lima kematian dilaporkan dalam masa 24 jam lepas, membabitkan empat dewasa dan seorang kanak-kanak, sementara dua mangsa masih hilang. 

Katanya seramai 68,341 mangsa banjir daripada 18,080 keluarga berada di 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri dengan Pahang paling teruk terjejas pada kali ini, selain Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan. 

Dalam pada itu, menurutnya  137 lokasi jalan masih ditutup akibat banjir setakat ini membabitkan empat negeri iaitu 120 lokasi di Pahang, Selangor (12),  Kelantan (tiga) dan Negeri Sembilan (dua).

“Selain itu, berdasarkan maklumat dari Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 2.30 pagi tadi sebanyak 23 lokasi sungai diletakkan dalam keadaan bahaya dan amaran.

“Paras bahaya melibatkan 13 lokasi iaitu sembilan sungai di Pahang, satu lokasi masing-masing di Selangor dan Johor, serta dua di Kelantan,” katanya pada sidang media harian Ops Banjir di Taman Sri Muda, di sini hari ini.

Menurut Acryl Sani 10 lokasi paras amaran pula ialah masing-masing satu di Selangor dan Johor, serta masing-masing dua di Pahang, Kelantan, Melaka dan Sarawak.

Sampah sarap terhasil yang dikumpulkan oleh penduduk dilupuskan oleh pengurusan KDEB Waste Management (KDEBWM) setelah banjir mulai surut ketika tinjauan di Kampung Padang, Selangor. – Bernama