Monday, March 4, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    KPWKM akan bincang dengan kerajaan Sarawak bina makmal subfertiliti

    KUCHING, 26 NOV – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang dengan kerajaan Sarawak untuk membina sebuah makmal subfertiliti di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuching.

    Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, makmal sedia ada di hospital umum di negeri ini tidak mencukupi, justeru kementerian mahu sebuah lagi makmal seumpama itu dibangunkan khas untuk rakyat Sarawak.

    “Jadi saya perlu berbincang dengan kerajaan negeri dulu untuk mendapat persetujuan dan mungkin kalau kerajaan negeri hendak menyumbang sedikit untuk kos lain, kementerian akan tanggung.

    “Bangunan (merujuk kepada bangunan LPPKN baharu di Wisma Sego) sudah ada dan kini sedang dalam pengubahsuaian, cuma kita belum ada makmal, saya akan bincang untuk masukkan makmal sebagai salah satu dari komponen dalam bangunan tersebut kerana ia melibatkan kos yang banyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 peringkat negeri di pekarangan Masjid Darul Hana di sini, hari ini.

    Terdahulu ketika berucap, Nancy berkata LPPKN akan terus berusaha untuk mengukuhkan institusi keluarga menerusi pelbagai program pembangunan keluarga meliputi advokasi, promosi, latihan dan pendidikan, perkhidmatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggubalan dasar.

    “Institusi keluarga merupakan sebuah unit asas sosial yang membekalkan sumber manusia untuk pembangunan negara serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi akan datang.

    “Menyedari akan kepentingan institusi keluarga, Dasar Keluarga Negara sedang dikaji semula untuk memastikan perspektif keluarga dalam pembangunan sosioekonomi akan terus ditambah baik bagi membina institusi keluarga yang kukuh serta sejahtera,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Filipina gesa jiran berdiri bersama lebih teguh di Laut China Selatan

    MELBOURNE, 4 MAC - Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique Manalo menggesa jiran serantau hari ini supaya berdiri bersama lebih teguh dalam menegakkan kedaulatan...