Kreativiti lukisan batu

Oleh Yusrin Junaidi 

Keupayaan menghasilkan karya lukisan merupakan suatu interaksi secara tidak langsung seseorang dengan alam sekeliling dan untuk meningkatkan keupayaan dalam melakukan interpretasi melalui persekitaran mereka.

Melalui melukis kita dapat mengekspresikan imaginasi dan kreativiti yang merupakan penjelmaan beberapa bahagian nilai dan sikap dalam meningkatkan keyakinan diri kepada seorang pelukis. Begitulah juga yang dilakukan oleh pelukis lukisan batu, Awang Nassaruddin @ Daud bin Haji Awang Osman.

Beliau yang berasal dari Kuala Belait, bergerak aktif sebagai pelukis sambilan bermula awal tahun 90an selepas bersara sebagai kerani pentadbiran di Syarikat Minyak Brunei Shell. Beliau membuat keputusan berkenaan kerana keinginan untuk serius dalam bidang seni walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas dan pendedahan mengenainya.

Minat dalam bidang seni lukis ini sebenarnya bermula dari kecil yang meminati seni lukisan watak-watak kartun di televisyen. Setelah bersara, barulah beliau mula serius dalam bidang berkenaan sejak bertemu dengan seorang pelukis dan juga pereka patung (sculptor) yang merupakan seorang warga emas di Itali, Rodrig yang bermastautin di kota London.

“Setiap kali saya pergi ke kota London pada tahun 90an, saya pasti berjumpa dengannya dan menjadikannya sebagai mentor. Saya membeli banyak lukisannya dan menimba ilmu tentang teknik lukisan selain teknik daripada pelukis batu Amerika, Lin Welford,” jelas beliau.

Awang Nassaruddin bersama lukisan batu yang dibuat oleh beliau.
Gambaran padian yang dilukis pada permukaan batu oleh Awang Nassaruddin.

Antara lukisan-lukisan dihasilkan oleh Awang Nassaruddin pada permukaan batu yang diambil di mana sahaja yang sesuai untuk dijadikan bahan.

Berbekalkan minat yang mendalam dan ilmu yang diperoleh, bermulalah hobi Awang Nassaruddin melukis lakaran bunga pada permukaan batu yang diambil di mana sahaja yang sesuai untuk dijadikan bahan. Sehingga sekarang, beliau telah menghasilkan lebih 500 lukisan pada batu yang bertambah setiap hari dari batu kecil hinggalah batu sebesar sebuah motosikal.

Semasa beliau menjawat jawatan ketua Kampung Tanjung Bunut, beliau pernah membuat satu pameran lukisan batu buat pertama kali pada bulan Februari 2005 di bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bandar Seri Begawan. Sejak dari itu, beliau telah mengadakan banyak pameran solo dan berkumpulan di kompleks dan juga di bangunan-bangunan kerajaan serta swasta di keempat-empat daerah.

Menyentuh mengenai idea-idea lukisan, lukisan abstrak menjadi pilihannya dan dihasilkan dengan mengambil ilham daripada pemandangan sekeliling. Selain menterjemahkan minat menerusi lakaran di batu, Nassaruddin turut menjadikan media sosial sebagai platform untuk berkongsi gambar hasil lukisan yang setiap satunya mempunyai mesej tersendiri.

“Sebuah lukisan abstrak, saya mengambil masa selama sehari menghasilkannya dengan menggunakan cat yang biasa digunakan sebagai medium utama,” katanya

Menurut beliau, sebagai pelukis baharu perlu bijak mencari peluang melalui penyertaan dalam pameran seni, di mana ia merupakan antara cara untuk memperkenalkan hasil karya kepada pengunjung dan pencinta seni yang hadir. Tambah beliau penyertaan dalam pameran berkenaan juga dapat menjadi platform untuk menjalin hubungan dengan pelukis lebih senior dan lebih berpengalaman.

“Kepuasannya bukan saja kerana dapat turut serta dalam pameran disertai artis daripada pelbagai latar belakang, tetapi pengunjung datang melihat karya dihasilkan dengan lebih dekat,” katanya yang turut menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Ketika dihubungi Media Permata, beliau juga berkata, minatnya dalam menghasilkan lukisan amat menebal sehingga dia sanggup menghabiskan kebanyakan masa dengan melukis pada masa terluang. Baginya, apa dilakukan itu tidak sia-sia kerana semakin ramai mula menunjukkan minat dan menghargai karya seni yang dihasilkan pelukis di negara ini.

“Dulu, industri seni di negara ini mungkin agak perlahan berbanding di Eropah terutama dari segi penerimaan masyarakat terhadapnya.

“Jadi, saya yakin bidang ini memiliki masa depan yang cerah. Apa perlu ada keinginan untuk belajar dan tidak cepat putus asa. Buat masa ini, saya sedang menimba pengalaman dan berharap ada rezeki untuk membuka galeri sendiri satu hari nanti,” tambahnya.