Tuesday, August 9, 2022
23.3 C
Brunei

Kreativiti pemilik serlah trak khemah mini

-

HOKKAIDO – Ia bukan sekadar perkhemahan biasa, namun trak mini dan kreativiti pemiliknya menjadi tarikan bukan sahaja bagi penggemarnya, malahan orang ramai yang melakukan aktiviti lain di kawasan peranginan Geto Kogen di Kitakami, wilayah Iwate, Jepun pada pertengahan Oktober lalu.

Sambil menghirup udara segar pergunungan, penggemar trak mini untuk perkhemahan dari Hokkaido ke Osaka berhimpun di kawasan peranginan tersebut, mempamerkan trak mini buatan mereka sendiri.

Sejumlah 28 buah trak mini dan ringan serta sebuah motosikal kelihatan dalam satu barisan pada acara tersebut.

Trak khemah mini, ada kalanya digelar ‘rumah trak ringan’ merupakan sebuah trak yang boleh memuatkan dua orang, mempunyai kuasa enjin 660cc atau kurang dan ruang kediaman dibina di dalamnya, menempatkan katil bersesuaian saiz.

Memandangkan bahagian perkhemahan secara sahnya dianggap sebagai tempat muatan, tapaknya mestilah sama saiz dengan katil trak, kira-kira 2 meter panjang dan 1.4 meter lebarnya. Ketinggiannya pula tidak melebihi 2.5 meter dari lantai dan tidak boleh melebihi berat 350 kilogram, kapasiti muatan maksimum sebuah trak.

Ruang dalam trak khemah mini salah seorang peserta acara menampilkan ruang katil. – ANN/The Japan News
Penggemar trak khemah mini menghadiri acara tersebut di hadapan barisan trak mini buatan sendiri. – ANN/The Japan News
Ruang dapur dan tidur antara yang dititikberatkan oleh penggemar kenderaan tersebut. – ANN/The Japan News

Unit khemah perlu dialihkan semasa pemeriksaan kenderaan, kemudian dipasang ketat apabila trak bergerak dan tiada siapa dibenarkan berada dalam unit itu semasa ia bergerak.

Pengehadan seumpamanya membuatkan penggemar aktiviti perkhemahan menjadi kreatif, seperti meluaskan unit khemah selepas trak itu parkir. Memandangkan trak ringan secara relatifnya murah, ia memungkinkan mereka membina sebuah trak khemah mini pada harga murah jika tempat tinggal dibina sendiri.

Trak khemah mini ini boleh dibina mengikut kehendak penggemarnya dalam pelbagai cara, bergantung kepada bagaimana mereka mahu menggunakannya, seperti untuk telekerja (kerja dari jarak jauh) atau untuk pengembaraan.

Sebahagian pemilik lebih memfokuskan untuk menjadikan katilnya selesa, manakala yang lain mengutamakan bahagian dapur dan perkakasannya.

Salah seorang penggemar yang menghadiri acara itu, Hiroshi Aoyama, 54, seorang pekerja dari syarikat di Sakai, wilayah Ibaraki, telah membina sebuah trak khemah mini pada tahun 2017.

Dia tidak pernah membina sesuatu sendiri sebelumnya, namun dia hanya mengambil masa kira-kira empat bulan untuk menyelesaikannya. Dia menghabiskan sejumlah 150,000 yen (AS$1,330.05) untuk membeli trak dan sekitar jumlah yang sama lagi untuk membina ruang tinggal. Dia menebat ruang dalamannya dan menggunakan trak khemah mini itu untuk ke tempat luncur ais.

Semasa musim sejuk, dia sering memandu dari tempat kerjanya terus ke kawasan peranginan luncur ais, bermalam di tempat letak kereta kawasan peranginan itu atau di mana-mana sahaja, kemudian meluncur ais.

“Ia sememangnya sesuatu yang memudahkan, lagipun saya boleh pergi ke mana-mana sahaja saya mahu bila-bila masa,” kata Aoyama.

“Hebat rasanya datang ke acara seperti ini kerana awda dapat bertemu dengan pemilik lain dan melihat ke dalam trak khemah mini mereka.

“Memandangkan ramai daripadanya dapat membina sesuatu yang mudah seperti teratak, mereka mempamerkan kreativiti dan idea unik.

“Ruang khemah adalah sama bagi setiap orang, namun di dalamnya, semua berbeza,” tambahnya.

Pada hari kedua perhimpunan itu, ribut melanda pada awal pagi, namun acara diteruskan selepas para pemiliknya memandu ke sebuah lagi lot tempat letak kereta, menghindari angin. Mengharungi cuaca buruk, pemandu trak khemah mini dapat mempamerkan keupayaan mereka mengemudinya. – ANN/The Japan News

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -