ATHENS – Pereka seni terkemuka, Adrian Villar Rojas telah melakukan satu transformasi pada ruang legar Pusat Kajian Kebangsaan Athens terletak bersebelahan dengan Athens Acropolis menjadi seolah-olah kawasan perhutanan yang sesuai untuk dijadikan lokasi bagi kebanyakan aktiviti luar di musim panas ini di mana ia mencerminkan kepada aspek kehilangan, kepupusan, laluan dan kepentingan masa.
Usaha yang dilaksanakan oleh Rojas di Bukit Nymphs yang berjudul The Theatre of Disappearance adalah projek pertama yang dibenarkan pada tapak arkeologi di seluruh dunia, jelas organisasi bukan berasaskan keuntungan, Greek NEON yang turut mendukung tugas tersebut kepada Xinhua.
Ia juga merupakan kali pertama bagi pihak berkuasa Yunani untuk memberi kebenaran dalam melaksanakan projek utama di tapak arkeologi.
Pusat Kajian Kebangsaan Athens yang menawarkan panorama indah menghala ke arah Parthenon adalah satu mercu tanda di pusat bersejarah yang terletak di ibu negara Greece di mana ia juga merupakan pusat kajian pertama ditubuhkan di negara itu iaitu pada tahun 1842.
Malah Pusat Kajian Kebangsaan Athens juga merupakan sebahagian daripada sejarah dan menurut Pengarah Pusat Kajian itu, Manolis Pleionis menjelaskan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini ramai pihak yang cuba menghubungkan di antara sains dan seni dalam sesuatu kajian.



“Menawarkan informasi mengenai pelbagai cabang seni di samping penganjuran Theater of Disappearance sebagai satu cabaran yang diusahakan oleh Adrian Villar Rojas yang secara tidak langsung turut mengetengahkan nilai tapak sejarah di Bukit Nymphs itu kepada dunia,” jelas Profesor Pleionis.
Villar Rojas memang merupakan seorang pereka yang cukup terkenal dengan rekaan arca pada skala besar malah juga sering berjaya menghasilkan sesuatu rekaan yang di luar jangkaan khusus untuk diteroka oleh para pengunjung.
Di Bukit Nymphs, beliau telah bergiat aktif selama beberapa bulan untuk menyemai 46,000 tumbuhan yang terdiri daripada 26 spesies pokok yang berbeza termasuk buluh, artichokes, tembikai, labu dan asparagus pada kawasan seluas 4,500 meter persegi.
Tanaman tersebut secara beransur-ansur meliputi kawasan bukit itu dan dipercayai terus tumbuh sehingga pameran itu berakhir pada 24 September depan.
Sejak ia mula dibukakan pada 1 Jun secara percuma, para pengunjung boleh melalui laluan yang agak sempit itu bagi menghayati keindahan hutan sambil meneroka ukiran yang agak tersembunyi di sebalik tumbuh-tumbuhan yang diusahakan oleh Rojas.
Antara lain pelawat juga dapat melihat replika Victory of Samothrace, sebuah patung figura wanita yang bersayap yang diletakkan pada posisi horizontal dan bukannya tegak atau rover angkasa tanpa kuasa milik NASA yang pernah menjejaki planet Mars pada tahun 2012 bagi menguji sama ada planet itu sesuai untuk kehidupan atau tidak.
“Apakah makna di sebalik tanah yang menjadi lokasi kaki kita berdiri? Saya berasal dari Argentina di mana tanah merujuk kepada asas pengeluaran dan ciri utama bagi identiti kebangsaan adalah hasil pengeluaran produk pertanian dan ternakan,” jelas Rojas.
“Ketika saya tiba di Greece, saya secara tidak langsung memahami bahawa orang Yunani begitu menghargai nilai budaya dan bagi saya yang berbangsa Argentina berpendapat bahawa tamadun manusia juga bergerak seiring dengan hasil pengeluaran tanah,” tambah Rojas.
“Transformasi Pusat Kajian Kebangsaan Athens yang dilaksanakan oleh Villar Rojas jelas mencerminkan visi dan komitmen beliau dalam mengatasi status quo. Ia juga jelas menunjukkan azam NEON untuk mengetengahkan budaya kontemporari lebih dekat kepada masyarakat dengan cara yang lebih inovatif dan berani,” jelas pengasas, pengusaha, dan usahawan NEON, Dimitris Daskalopoulos.
Diasaskan pada tahun 2013, NEON berperanan untuk menjelaskan bahawa seni adalah alat utama untuk terus mengembang majukan negara tatkala berhadapan dengan krisis hutang.
Projek yang dilaksanakan di Bukit Nymph merupakan sebahagian daripada kempen organisasi untuk mewujudkan hubungan antara budaya kontemporari dan warisan sejarah serta arkeologi Athens. – Xinhua