NEW YORK- Penglibatan kaum wanita di dalam bidang perniagaan sering menjadi satu isu yang dipersoalkan sehingga ada juga yang memandang sinis kepada wanita yang berkecimpung dalam bidang usahawan walaupun hakikatnya keupayaan mereka dalam mentadbir sesebuah pengurusan juga boleh dikatakan hampir menyamai dengan kaum lelaki.
Lebih teruk lagi, apabila ada di antara pihak pelabur yang turut mempersoalkan sekiranya seseorang wanita yang bakal berurusan dengannya itu turut merancang untuk memiliki anak yang dipercayai mungkin boleh membuatkan mereka hilang tumpuan terhadap skop pekerjaan.
Kebanyakan pemilik syarikat perniagaan dari kaum wanita menjelaskan bahawa mereka kerap berdepan dengan diskriminasi jantina dari pelabur-pelabur, pelanggan dan pekerja yang tidak mahu menghadapi realiti bahawa wanita boleh menjadi seorang Ketua Pegawai Eksekutif, peguam cara atau memiliki syarikat teknologi.
Kebanyakan wanita pada mulanya sering berasa diperkecilkan dan tidak tahu bagaimana untuk memberi tindak balas terhadap ulasan–ulasan atau sikap yang mereka dapati sehingga ia boleh dianggap sebagai penghinaan, gangguan dan turut memandang rendah kredibiliti mereka sekali gus turut menimbulkan isu masalah kesaksamaan.
Ketika Amanda Bradfrod bercakap pada persidangan teknologi dan beberapa forum, membincangkan mengenai kod dan algoritma, sebahagian lelaki telah memberitahunya selepas itu, ‘Ini adalah sesuatu yang tidak saya jangka apabila anda mula membuka mulut dalam memberikan pandangan.”



Kebanyakan daripada mereka menganggap hanya kerana dia adalah seorang wanita, dia lebih dilihat sebagai salah satu strategi pemasaran dan bukannya pencipta aplikasi mudah alih, The League.
“Saya sering merasakan diri ini kurang dihargai terutama dari pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang teknikal,” jelas Bradford ketika memohon untuk mendapatkan dana bagi membiayai syarikatnya yang berpangkalan di San Francisco.
Pemilik perniagaan wanita tidak pernah terlepas daripada sebarang isu diskriminasi jantina secara berterusan sebagaimana yang dapat disaksikan di dalam berita- -walaupun hakikatnya jumlah kaum wanita berpangkat dan memiliki kuasa juga semakin ketara.
Di samping itu, jumlah pemilik perniagaan dari kalangan wanita di AS juga meningkat kepada lebih daripada 10 juta orang berbanding daripada 5.4 juta orang pada tahun 1997.
Pengarah Eksekutif dari Pusat Kepimpinan Usahawan Wanita di Kolej Babson, Susan Duffy menjelaskan bahawa walaupun jumlah pemilik perniagaan dalam kalangan wanita semakin diterima dan agak ketara pada masa ini berbanding sedekad lalu namun ternyata masih ramai juga yang beranggapan bahawa sekiranya seorang wanita itu memegang gelaran Ketua Pegawai Eksekutif yang secara tidak langsung juga turut mengatakan bahawa dia umpama seorang lelaki yang memakai sut.
Pelanggan atau pelabur kerap menganggap bahawa Gabby Slome dan Alex Douzet, dua pengasas syarikat pengilang makanan anjing, Ollie, adalah sebagai pasangan suami isteri.
Kebanyakan orang awam tidak pernah menyangka bahawa Slome adalah isteri kepada seorang lelaki lain kerana menganggap dia tidak mungkin berupaya untuk mengusahakan sebuah perniagaan tanpa sokongan atau pembiayaan seorang lelaki yang bergelar suami.
“Mereka menganggap kehidupan saya dibiayai sepenuhnya oleh suami tanpa melihat saya juga boleh berdikari,”kata Slome, yang telah mengusahakan Ollie yang berpangkalan di Manhattan selama dua tahun.
Slome telah lama belajar untuk membiasakan dirinya bekerja bersama dengan Douzet.
“Saya sering kali menjelaskan bahawa keputusan kami untuk bekerjasama adalah disebabkan oleh minat yang sama di samping perkongsian kemahiran dan keupayaan yang secara tidak langsung dapat menjadikan kami sebagai rakan perniagaan yang baik,” jelasnya.
Duffy, yang menyelia program pemantauan Babson bagi usahawan wanita, berkata sikap diskriminasi jantina dan cara untuk menghadapinya merupakan antara isu yang kerap dibincangkannya sewaktu dalam sesebuah mesyuarat program.
“Persiapkan diri anda, jadi anda mengetahuinya apabila anda melihatnya dan memiliki beberapa sikap positif lain yang dilihat sebagai satu perkara penting terutama dalam pengurusan untuk memastikan mendapat keputusan yang terbaik,’ kata Duffy.
Sally Strebel menyedari bahawa apabila rakan perniagaan lelakinya meninggalkannya pada satu mesyuarat, lelaki lain akan menghampiri dan bertanyakan soalan mengenai syarikatnya dan kemudian memberitahu dirinya mengenai cara mereka untuk membangunkan sesuatu yang lebih baik dan saya seharusnya berhati- hati.’
“Hakikatnya saya menyedari bahawa mereka hanya berniat untuk menakutkan,” jelas Strebel, pengasas bersama Pagely, sebuah syarikat di atas talian yang berpangkalan di Tucson, Arizona.
Dia juga pernah berada dalam mesyuarat di mana dia tidak diberikan peluang untuk bercakap. Untuk seketika, dia berdiam diri. Tetapi ketika masa terus berlalu, dia turut mengatakan bahawa dia juga mempunyai hak untuk bercakap.
“Kini dengan kuasa yang saya miliki setentunya saya juga boleh membuat keputusan dengan sendiri dan menolak sesuatu idea sekiranya saya tidak menyukai,”jelas Strebel.
Noushin Ketabi menyedari bahawa apabila dia dan suaminya dan rakan perniagaan, Rob Terenzi bermesyuarat bersama eksekutif lelaki, mereka bercakap kepadanya dan tidak membuat sebarang kontak mata bersamanya.
Kebanyakan ramai orang awam menganggap suaminya sebagai pembuat keputusan utama dalam syarikat kopi yang diusahakan oleh pasangan suami isteri itu.
Ketabi memberikan respon dengan bertindak sebagai pemilik bersama Santa Barbara, sebuah firma yang berpangkalan di California, bercakap dengan pengetahuan yang luas dan berwibawa. Dia juga menggunakan humor untuk cuba menghilangkan rasa janggal.
Julia Fowler turut pernah berdepan dengan pelabur yang menanyakan dirinya sama ada dia merancang untuk mempunyai anak.
“Persoalan itu sendiri adalah tidak sesuai dan berunsur peribadi kerana ia tidak kena mengena dengan syarikat,” kata Fowler, pengasas bersama Edited, sebuah syarikat pengurusan teknologi yang memiliki beberapa cawangan pejabat-pejabat di New York, San Francisco dan London.
Pada mulanya Fowler terkejut. Kemudian, pada mesyuarat kedua, dia membangkitkan isu tersebut.
“Saya turut menyuarakan kembali soalan itu kepada pihak yang bertanya bagi mendapatkan kepastian mengenai apakah kepentingan soalan itu kepada bidang kerjaya yang saya ceburi,” jelas Fowler.
Sikap berani yang dimiliki Fowler ternyata bukan menjadi masalah malah turut memberikan keuntungan kepada Edited.
Michelle Kennedy pula telah menemui pelabur-pelabur yang tidak percaya akan kebolehan dirinya dalam memasarkan sesuatu produk yang dihasilkan oleh dirinya.
Dia melakukan kajian dalam bidang pemasaran sebelum mendapatkan pelabur untuk membiayai Peanut, satu aplikasi yang membantu para ibu berhubung sesama sendiri.
“Tetapi baru –baru ini tahun 2016, pelabur berpotensi itu akan berkata ‘saya tidak tahu’. Saya perlu bercakap dengan isteri saya atau setiausaha saya, kakak saya, anak perempuan saya yang tahu lebih baik lagi berbanding dia,” kata Kennedy.
Kennedy kurang berhadapan dengan isu berat sebelah sejak kebelakangan kerana dia boleh menunjukkan keuntungan dan berjaya menepati sasaran sekali gus membuktikan keupayaannya dalam mengendalikan sebuah syarikat.
Diskriminasi jantina kerap menjadi topik perbincangan apabila Elizabeth Pekin menghadiri satu persidangan bersama peguam wanita yang lain. Mereka bertanya sesama sendiri, “apa yang anda katakan?’
“Semua orang berasa sedikit terkejut apabila ia berlaku dan ia adalah lebih sukar berbanding apa yang anda rasakan,” kata Pekin, pengasas bersama Momentum Funding, sebuah syarikat yang membantu membiayai kos litigasi kewangan.
“Mereka memberitahu saya apabila anda perlu ke mahkamah dan duduk di atas bangku, peguam bela tidak menghiraukan mereka kerana menganggap mereka adalah penggubal undang-undang.”
Pekin menasihatkan agar kaum wanita sentiasa berusaha untuk mencerminkan diri mereka sebagai seorang yang berkelayakan kerana mereka adalah wanita moden.
“Sebagai seorang wanita, kita harus membuktikan bahawa diri kita juga memiliki kredibiliti dan keupayaan setanding dengan kaum lelaki,” jelasnya. – AP