ZURICH, 24 Jan – Undian Piala Dunia 2018 dijadual berlangsung di sebuah dewan di Kremlin, Moscow pada 1 Disember ini.
Majlis berkenaan bakal diadakan di State Kremlin Palace yang mempunyai kapasiti 6,000 tempat duduk – sebuah struktur besar yang mempunyai kaitan sejarah di mana persidangan Parti Komunis pada era Soviet diadakan.
Kini, venue itu kebiasaannya digunakan untuk konsert bintang pop veteran Russia, penari balet dan majlis anugerah.
Timbalan Perdana Menteri, Vitaly Mutko yang menyifatkan majlis itu sebagai serius berkata, undian berkenaan dijangka disertai jurulatih daripada 32 pasukan yang bakal beraksi.
Jumlah pasukan yang bertanding di Piala Dunia 2018 itu akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.
Presiden Russia, Vladimir Putin membenarkan FIFA untuk menggunakan venue berprofil tinggi untuk majlis perasmian Piala Dunia.
Pada Julai 2015, program undian kelayakan dianjurkan di salah sebuah kediaman rasmi Putin, Konstantin Palace yang berhampiran St Petersburg.
Piala Dunia Russia dijadual membuka tirainya pada 14 Jun 2018 di Stadium Luzhniki dan majlis penutup perlawanan juga dijangka diadakan di sana pada 15 Julai. – AP