Monday, October 7, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kren tumbang ragut 4 jiwa

    SEATTLE, 28 April – Sebuah kren pembinaan jatuh dari sebuah bangunan di kampus Google baharu di Seattle semasa ribut kencang dan menghempap salah sebuah jalan raya paling sibuk di bandar itu dan mengakibatkan empat kematian.

    Seorang wanita dan tiga orang lelaki terbunuh sebaik saja para anggota bomba tiba pada petang semalam, menurut Ketua Bomba Harold Scoggins.

    Dua yang terbunuh adalah pekerja kilang besi yang berada dalam kren manakala dua orang lagi adalah mereka yang berada di dalam kereta, menurut jurucakap Jabatan Bomba, Lance Garland.

    Seorang ibu berusia 25 tahun dan anak damit perempuannya yang berusia 4 bulan berada di dalam kereta yang dihempap oleh kren di bahagian tempat duduk penumpang, namun kedua-duanya berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan, Datuk Bandar Seattle Jenny Durkan berkata, dengan menyifatkannya satu keajaiban.

    Mereka dan seorang lelaki berusia 28 tahun telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Harborview. Orang keempat yang tercedera menerima rawatan di tempat kejadian.

    Anggota kecemasan bekerja di tempat kejadian kren pembinaan tumbang yang meragut beberapa nyawa dan mencederakan yang lain pada 27 April di Seattle. – AP

    Kren itu terjatuh berhampiran persimpangan Mercer dan Fairview Avenue yang kerap penuh sesak yang terletak di utara pusat bandar di kawasan South Lake Union sejurus selepas pukul 3:30 petang, menurut Scoggins.

    Kejadian kren terjatuh yang mengakibatkan kematian itu pasti membawa kepada pengawasan rapi tentang keselamatan berbelas-belas buah kren yang banyak di bangunan pencakar langit di bandar itu.

    Dengan Amazon Google dan syarikat-syarikat berteknologi tinggi yang lain semakin menambah penyewaan mereka di Seattle, bandar yang mempunyai lebih banyak kren yang sedang membina bangunan pangsapuri dan pejabat yang mencuar tinggi dari mana-mana bangunan yang lain di Amerika Syarikat. Setakat Januari terdapat kira-kira 60 buah kren pembinaan di Seattle.

    Durkan berkata bandar itu mempunyai rekod yang baik tentang keselamatan kren namun para pegawai akan mengkaji semula.

    “Itu adalah hari dahsyat di Seattle apabila sesuatu yang seperti ini berlaku. Namun itu adalah masa kita bersatu kerana Seattle adalah sebuah bandar yang bersatu,” ujarnya.

    Para pegawai belum lagi mengetahui punca kren terjatuh. Pihak polis dan jabatan Buruh dan Industri negeri sedang menjalankan siasatan, yang menurut Durkan boleh mengambil masa berbulan-bulan.

    Daren Konopaski, pengurus perniagaan bagi Kesatuan Antarabangsa Pengendalian Kejuruteraan Local 302 yang mewakili pengendali-pengendali peralatan berat, memberitahu Seattle Times yang dia difahamkan kren itu tidak beroperasi apabila angin kencang melanda kawasan itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda