Saturday, October 12, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krim putih resipi istimewa

    KULIM – Ais yang dikisar halus dan ditambah dengan sirap manis pelbagai perisa atau ‘ais kepal’ yang dijual oleh seorang suri rumah di gerainya di Taman Legenda Padang Serai di sini kini semakin popular dan mendapat permintaan hangat daripada orang ramai terutama dalam keadaan cuaca panas.

    Bermula dengan hanya secara kecil-kecilan setahun lalu, kini gerai ais kepal Mardiana Rasudin, 34, dipenuhi orang ramai pelbagai lapisan masyarakat yang beratur panjang bagi mendapatkan manisan itu sehingga tidak menang tangan.

    “Tidak sangka hanya bermula dengan cuba-cuba tetapi kini saya serius menjual ais kepal setiap hari kerana mendapat permintaan yang amat menggalakkan walaupun ketika cuaca hujan.

    “Setiap hari sebanyak 60 bongkah ais saya gunakan untuk menghasilkan kira-kira 300 bekas ais kepal dan lebih banyak bongkah ais diperlukan pada hujung minggu kerana permintaan akan menjadi lebih banyak,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya, di sini.

    Mardiana berkata, bagi memastikan pelanggan berasa puas menikmati ais kepalnya, beliau sentiasa berusaha memberi kelainan dalam hidangannya termasuk mempelbagaikan perisa.

    “Jika dahulu semasa mula berniaga saya hanya hidangkan satu perisa sahaja iaitu ais kepal coklat, namun selepas beberapa bulan permintaan menjadi kurang kerana ramai peniaga lain yang turut jual ais kepal dengan perisa sama.

    “Jadi saya telah perkenalkan pelbagai perisa dan kini saya ada 10 jenis perisa seperti mangga, sirap, kiwi, strawberi, campuran buah segar dan campuran coklat yang diadun dengan ramuan lain dan dijual antara RM3 hingga RM6 sebekas,” katanya.

    Malah, Mardiana turut berkongsi rahsia keenakan dan keunikan ais kepalnya yang menggunakan bahan istimewa iaitu krim putih yang dihasilkan sendiri.

    “Krim putih inilah yang membezakan rasa asli kepal saya dengan ais kepal peniaga lain, saya dapat resipi ini hasil perkongsian dengan seorang kenalan di Facebook, hanya kami berdua sahaja yang ada ramuan krim ini,” katanya.– Bernama

    Mardiana Rusidi menunjukkan ais kepal campuran koko dan campuran buah segar yang paling digemari pelanggan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda