Krisis COVID-19 semakin memburuk di seluruh dunia – WHO

GENEVA, 9 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan semalam bahawa keadaan pandemik COVID-19 semakin buruk di seluruh dunia, sekali gus memberi amaran supaya tiada negara cepat berpuas hati dengan pencapaian mengekang penularan virus itu ketika ini.

Menurut WHO, ia merekodkan jumlah jangkitan baharu tinggi dengan kes mendadak dicatatkan di Amerika.

Ketika tunjuk perasaan dianjurkan secara besar-besaran bagi menuntut ke-adilan dalam isu perkauman di seluruh Amerika Syarikat (AS), agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu menggesa semua pihak yang menyertai demonstrasi untuk melakukannya dengan cara lebih selamat.

COVID-19 telah meragut lebih 403,000 nyawa daripada sekurang-kurangnya tujuh juta yang dijangkiti sejak wabak itu muncul di China pada Disember lalu, menurut laporan dari sumber rasmi yang diselia oleh AFP.

Selepas Asia Timur, Eropah menjadi pusat penyakit ini, tetapi kini kedudukan itu telah diambil alih oleh Amerika.

“Walaupun keadaan di Eropah bertambah baik, secara global ia semakin buruk,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media maya di Geneva.

“Lebih 100,000 kes dilaporkan pada sembilan dari 10 hari terakhir. Semalam, lebih daripada 136,000 kes dilaporkan – yang paling tinggi dalam satu hari setakat ini,” katanya.

Beliau berkata hampir 75 peratus kes pada Ahad dicatatkan di 10 negara yang kebanyakannya di Amerika dan Asia Selatan.

Tedros mengingatkan bahawa di negara-negara di mana situasinya semakin baik, “ancaman terbesar sekarang adalah berpuas hati”, dan “kebanyakan penduduk di seluruh dunia masih terdedah kepada jangkitan.

“Lebih enam bulan berlakunya wabak ini, ini bukan waktunya bagi mana-mana negara untuk relaks,” katanya. – AFP

Kakitangan kesihatan menyertai bantahan menggesa penguatkuasaan sistem amalan kesihatan di luar hospital Gregorio Maranon, Madrid pada 8 Jun. WHO menegaskan semalam keadaan pandemik semakin buruk di seluruh dunia, sekali gus memberi amaran untuk negara-negara lain untuk tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian mengekang penularan virus. – AFP