Krisis di Myanmar: Tiga kritikal ditembak pasukan keselamatan

YANGON, 2 MAC – Tiga penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa cedera parah selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan di barat laut Myanmar hari ini, kata para petugas perubatan, ketika kuasa serantau terus menekan junta atas tindakan keras mereka yang telah menyebabkan banyak kematian.

Myanmar telah berdepan dengan bantahan secara besar-besaran terhadap tentera bagi menuntut pembebasan pemimpin awam Aung San Suu Kyi, yang ditahan pada awal rampasan kuasa 1 Februari lalu.

Pihak tentera turut meningkatkan kekuasaannya bagi mengawal bantahan oleh penunjuk perasaan seperti menggunakan gas pemedih mata, meriam air, peluru getah dan sebagainya.

Di bandar barat laut Kale hari ini, satu lagi demonstrasi berubah menjadi ganas ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan, menurut petugas perubatan yang menyaksikan kejadian dan merawat mereka yang tercedera.

“Kira-kira 20 orang cedera dalam tindakan keras pagi tadi oleh polis dan tentera di Kale,” kata seorang pekerja penyelamat, dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

“Tiga… terkena tembakan dan berada dalam keadaan kritikal,” katanya, sambil menambah bahawa polis pada awalnya menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah. Seorang doktor yang merawat pesakit di hospital tempatan mengesahkan mereka berada dalam keadaan kritikal. – AFP

Reaksi para penunjuk perasaan ketika cuba melarikan diri selepas anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata semasa demonstrasi di Yangon, kelmarin. – AFP