Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Krisis makanan perlu ditangani segera – Agong

    KUALA LUMPUR, 6 JUN – Krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera terutama dalam keadaan dunia yang menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Seri Paduka turut menitahkan agar satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup untuk berada pada tahap yang bersesuaian.

    “Beta berharap agar kerajaan beta dan pemimpin di setiap lapisan untuk menangani masalah kelangsungan hidup yang membelenggu segelintir rakyat beta, termasuklah kos sara hidup yang tinggi di samping peningkatan harga komoditi industri dan makanan.

    “Nasihat beta, usahlah wujud bibit pertikaian apabila setiap kali negara berhadapan dengan masalah sekuriti makanan dan peningkatan kos sara hidup.

    “Kita semua seharusnya fokus kepada membantu memulih kemaslahatan rakyat.

    “Sikap ‘bila sudah merah, kapur salahkan kunyit dan kunyit salahkan kapur’ tidak akan dapat membantu dan membela nasib rakyat beta yang terhimpit dengan pelbagai dugaan,” titah Seri Paduka sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara di sini hari ini.

    Al-Sultan Abdullah juga menasihatkan rakyat supaya memainkan peranan dengan menanam sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah serta tidak melakukan pembaziran.

    Seri Paduka turut menyanjung tinggi inisiatif pengukuhan perlindungan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia.

    Yang di-Pertuan Agong menaruh harapan tinggi agar program itu dapat mencapai sasarannya untuk menghapuskan miskin tegar menjelang 2025. – Bernama

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...