‘Krisis migran Lesbos selesai dalam seminggu’

PULAU LESBOS, GREECE, 13 SEPT – Greece berkata hari ini ia berharap ribuan pencari suaka yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran di kem pendatang terbesar di Eropah boleh ditempatkan semula dalam seminggu untuk menamatkan krisis yang telah melihat pembantah bertempur dengan polis.

Pencari perlindungan, termasuk warga emas dan kanak-kanak, telah tidur di kawasan terbuka di pulau Lesbos sejak Rabu, apabila kira-kira 11,000 orang melarikan diri dari kem Moria selepas ia hangus terbakar dalam serangan pembakaran sengaja.

Pertempuran meletus semalam selepas ratusan pendatang melancarkan tunjuk perasaan aman. Beberapa lelaki mula melontar batu pada polis rusuhan yang bertindak balas dengan gas pemedih mata.

Pendatang mengadakan tunjuk perasaan sekali lagi pada pagi ini, kata seorang wartawan AFP.

Pihak berkuasa kini telah mendirikan kem baharu yang boleh menampung 3,000 orang di Kara Tepe, beberapa kilometer dari kem Moria yang musnah, yang sering dikritik oleh PBB dan kumpulan hak disebabkan keadaan penuh sesak dan kotor.

“Ia adalah struktur sementara yang akan memberikan kami peluang untuk mengendali situasi sehingga peringkat seterusnya,” kata Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis hari ini.

Sebuah pusat pendaftaran dan resepsi baharu untuk pencari suaka akan menghindari ‘masalah Moria,’ tambah beliau.

Pegawai Kementerian Migrasi berkata semalam pelannya adalah untuk menyediakan khemah untuk semua pencari suaka yang tidak mempunyai tempat tinggal dan mempercepatkan prosedur perlindungan, dengan menteri Notis Mitarachi berkata ia akan mengambil masa ‘lima hari’ untuk menempatkan semula semua penghijrah tersebut. – AFP

Gambar yang diambil kelmarin menunjukkan kem Moria yang hangus terbakar di pulau Lesbos. – AFP