Tuesday, January 21, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krisis Myanmar: ASEAN adakan mesyuarat khas

    JAKARTA, 20 APRIL – Mesyuarat khas Pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN Jakarta Sabtu ini untuk membincangkan krisis Myanmar akan diadakan dengan mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan yang ketat, di tengah-tengah pandemik COVID-19.

    Berikutan itu, penyertaan pegawai dalam mesyuarat itu akan dihadkan.

    “Mesyuarat Pemimpin ASEAN akan mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan ditetapkan kerajaan Indonesia,” menurut kenyataan media Sekretariat ASEAN di sini hari ini.

    Di samping itu kerajaan Indonesia turut menyediakan khidmat nasihat dan bantuan teknikal yang diperlukan.

    Persediaan mesyuarat khas ASEAN untuk membincangkan isu Myanmar itu telah dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu, diketuai Indonesia dan menteri luarnya Retno Marsudi serta mendapat sokongan Malaysia, Brunei, dan Singapura.

    Tukang kebun memangkas pokok renek di perkarangan bangunan secretariat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, 20 April, menjelang mesyuarat ASEAN mengenai krisis Myanmar pada 24 April ini. –AFP

    Myanmar bergolak sejak Panglima Angkatan Tentera Min Aung Hlaing pada 1 Februari lalu menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, menyaksikan tentera telah membunuh lebih 700 penunjuk perasaan sejak protes antikudeta tercetus.

    Pada 5 Februari, dalam lawatan kerja ke Jakarta, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Joko Widodo, menyatakan mesyuarat khas 10 negara anggota blok itu akan diadakan untuk membincangkan situasi di Myanmar.

    Menteri luar masing-masing telah ditugaskan untuk berunding dengan Pengerusi ASEAN, Brunei berhubung perkara itu.

    Semasa lawatan Muhyiddin ke Brunei awal bulan ini, kedua-dua negara mengumumkan sidang kemuncak khas itu akan diadakan di Jakarta.

    “Pemimpin berkenaan menegaskan kesediaan ASEAN untuk membantu Myanmar, termasuk melalui pejabat Ketua ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN secara positif, aman dan konstruktif.

    “… tetap menjadi kepentingan utama ASEAN untuk melihat Myanmar menyelesaikan krisis dan kembali stabil,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan pada akhir Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 di Istana Nurul Iman pada 5 April.

    Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Thailand dipetik agensi asing sebagai berkata ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing dijangka menghadiri mesyuarat itu, kunjungan luar negaranya yang pertama sejak melancarkan rampasan kuasa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda