Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Krisis Myanmar: ASEAN setuju libatkan ‘stakeholders’

    PHNOM PENH, 11 NOV – Para pemimpin Asia Tenggara hari ini bersetuju untuk melibatkan kumpulan pembangkang Myanmar ketika mereka berusaha untuk meredakan pertumpahan darah yang semakin memburuk di negara itu, menyaksikan ribuan terbunuh sejak rampasan kuasa tahun lalu.

    Krisis Myanmar telah mendominasi perhimpunan hari pertama blok serantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Phnom Penh yang turut disertai Presiden AS, Joe Biden esok. Myanmar telah dilingkari dengan konflik berdarah sejak junta menyingkirkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi Febuari tahun lalu.

    ASEAN telah mempersetujui pelan damai berdasarkan Konsensus Lima Perkara dengan Myanmar April tahun lalu, namun junta setakat ini mengabaikannya dan blok itu sudah pun bergelut selama berbulan-bulan untuk mencari jalan menguatkuasakannya.

    Kecewa dengan sikap jeneral yang keberatan, para pemimpin ASEAN hari ini menugaskan menteri-menteri luar mereka merangka satu ‘rancangan pelaksanaan yang menggariskan langkah-langkah konkrit, praktikal dan boleh diukur dengan garis masa khusus.

    Dalam kenyataan 15 perkara disimpulkan dalam rundingan sukar dua hari antara menteri-menteri luar, blok itu bersetuju untuk ‘melibatkan semua stakeholders tidak lama lagi.’

    “Pembabitan akan dibuat dalam cara fleksibel dan tidak rasmi, khususnya oleh Duta Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar,” kata para pemimpin dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Ini kemungkinan akan membabitkan mesyuarat perwakilan Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG), sebuah badan diisytiharkan sendiri yang terdiri daripada bekas-bekas ahli parlimen parti Suu Kyi.

    NUG menganggap dirinya sebagai kerajaan sah negara itu, namun junta menganggapnya sebagai ‘pengganas’ dan membabitkan kumpulan itu akan menjadi satu langkah signifikan bagi ASEAN.

    Pemimpin juga memberi amaran kepada jeneral, jika mereka tidak mengambil berat perkara itu, blok itu akan melarang tokoh-tokoh junta menghadiri mesyuarat ASEAN. – AFP

    Penari mengadakan persembahan semasa majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan 41 di Phnom Penh, 11 November. Para pemimpin ASEAN telah bersetuju berunding dengan pembangkang Myanmar bagi meredakan krisis berdarah di negara itu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...