Krisis pertahanan gelisahkan City

MANCHESTER, 20 SEPT – Fernandinho mengisi kekosongan di barisan pertahanan Manchester City dengan sebaiknya bagi menyelesaikan masalah pertahanan Pep Guardiola, namun juara Liga Perdana itu sedar bahawa kekurangan pemain pertahanannya bakal diuji oleh pasukan Watford hujung minggu ini.

Kali terakhir kedua kelab itu bertemu adalah final Piala FA pada Mei, dengan City menang besar 6-0 bagi melengkapkan trebel domestik pertama dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Tetapi hanya empat bulan kemudian, skuad Guardiola sudah ketinggalan lima mata di belakang Liverpool, dan berdepan masalah serius di barisan pertahanannya dengan Aymeric Laporte dan John Stones diketepikan buat masa yang lama.

Laporte, dianggap antara pertahanan kiri terbaik di Eropah oleh Guardiola, tidak akan beraksi sehingga Februari selepas mengalami kecederaan ligamen lutut semasa kemenangan ke atas Brighton.

Itu meletakkan Stones, yang memulakan musim dengan kecederaan, sebagai satu-satunya pertahanan tengah untuk bergandingan dengan Nicolas Otamendi.

Bagaimanapun, Stones mengalami kecederaan otot semasa menjalani sesi latihan dan beberapa laporan menyatakan dia mungkin direhatkan selama empat hingga lima minggu. – AFP

Fernandinho (kiri) ketika menjalani sesi latihan bersama Bernardo Silva (tengah) dan Gabriel Jesus di Ukraine pada 17 September 2019. – AP