Krisis tebusan berakhir dengan siaran video

KIEV, 22 JULAI – Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky hari ini mempertahankan keputusannya untuk memenuhi permintaan pelik lelaki bersenjata yang meminta beliau menyiarkan satu video untuk menamatkan krisis tebusan selama 12 jam tersebut.

Zelensky menceritakan bagaimana beliau berunding secara peribadi dengan lelaki bersenjata petang semalam yang menjadikan 13 penumpang bas tebusan di bandar barat Lutsk.

“Kami melihat keputusannya – semua orang hidup. Kami bukan berjuang untuk pemeringkatan kepopularan – kami berjuang untuk hidup,” kata Zelensky dalam satu kenyataan, merujuk kepada keputusan beliau, apabila beberapa orang mengkritik beliau kerana tunduk kepada permintaan lelaki bersenjata itu.

Perkhidmatan keselamatan SBU berkata kesemua 13 tebusan dibebaskan dengan selamat selepas konflik antara polis dan lelaki tersebut, yang mengugut akan meletupkan sebutir bom.

Situasi tebusan yang tegang berakhir selepas presiden bersetuju untuk menyiarkan filem dokumentari AS 2005 yang diceritakan oleh pelakon Joaquin Phoenix bernama “Earthlings,’ yang mengecam layanan teruk manusia ke atas haiwan.

Zelensky berkata beliau bersetuju dalam satu panggilan telefon dengan lelaki bersenjata, dikenal pasti sebagai Maksym Kryvosh, 44, di mana ‘dia akan membebaskan tiga orang, dan selepas itu saya akan merakamkan satu video.’

Lelaki bersenjata itu bersetuju dan membebaskan tiga orang tebusan: seorang lelaki, seorang wanita hamil dan seorang kanak-kanak.

Sebagai respons, presiden menyiarkan satu mesej video di Facebook menggesa orang ramai menonton dokumentari tersebut dan Kryvosh bersetuju untuk membebaskan kesemua tahanannya setengah jam selepas itu, kata Zelensky. Lelaki itu kini sedang ditahan di sebuah pusat tahanan sementara, lapor polis. – AFP

Seorang lelaki yang menjadikan penumpang bas tebusan terbaring di atas tanah selepas ditahan oleh pegawai penguatkuasa di bandar Lutsk pada 21 Julai 2020. – AFP