Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Krisis tenaga bebani penternak Greece

    KLEITORIA, GREECE – Semasa menjaga biri-biri, kambing dan ayamnya di ladang keluarga di kampung Kleitoria di selatan Greece, penternak Diamantis Zournas sentiasa mengira kosnya.

    Kenaikan besar-besaran dalam harga tenaga dan makanan haiwan baru-baru ini yang berpunca daripada krisis Ukraine telah memberikan beban yang tidak tertanggung kepada penternak di seluruh Greece, menjadikan perniagaan mereka hampir tidak berdaya maju, jelas mereka kepada Xinhua dalam temu bual baru-baru ini.

    Zournas ialah penternak generasi keempat yang mempunyai kawanan 350 biri-biri dan kambing, serta ayam, dan menjual hasil beliau di kedai dagingnya di medan kampung.

    “Keadaan menjadi tidak tertanggung,” katanya, kerana semuanya lebih mahal.

    Malah beberapa bulan lalu dia masih membayar 250 euro hingga 300 euro (AS$264 hingga AS$316) untuk elektrik. Bil terbaharu mencecah hampir 1,000 euro. Kos pengangkutan juga meningkat berikutan harga bahan api yang semakin tinggi.

    “Setiap minggu harga melambung, bukan setakat naik. Ia sudah meningkat dua kali ganda dan terus meningkat. Jagung hari ini harganya lebih 40 sen sekilo, sedangkan kita dulu membeli dengan harga 18 hingga 19 sen,” jelasnya.

    Diamantis Zournas, penternak generasi keempat, bergambar di hadapan ladangnya di desa Kleitoria di selatan Greece. – Xinhua
    Pemandangan dari udara menunjukkan silo makanan haiwan di desa Kleitoria di selatan Greece. – Xinhua

    Menurut Persatuan Ternakan Hellenic, harga barli, clover, jerami, soya dan gandum juga meningkat dua kali ganda dalam beberapa bulan lalu.

    Pengeluaran dalam negeri tidak dapat menampung keper-luan petani. Greece mengimport kira-kira 250,000 tan makanan haiwan setiap tahun dari Rusia dan Ukraine, tetapi konflik di sana telah menimbulkan masalah kepada eksport, kata Persatuan Industri Makanan Hellenic.

    Sementara itu, kos pengeluaran semakin tinggi, kata Zournas. “Saya ragui penternak yang tidak mengeluarkan makanan sendiri akan mampu menampung kehidupan mere-ka. Mereka akan dipaksa menjual ternakan mereka. Ia sudah pun bermula. Ia sedang berlaku,” katanya.

    Zournas menanam sebahagian daripada makanan untuk haiwan ternakan di ladangnya, tetapi dia menghadapi kesukaran.

    Semasa lawatan ke silo mereka di Kleitoria, di mana penternak tempatan mendapatkan makanan haiwan mereka, Pavlos Satolias, presiden Kesatuan Kebangsaan Koperasi Pertanian Greece – ETHEAS dan Koperasi Tenusu Pertanian tempatan, memberitahu Xinhua bahawa keadaannya sukar, tetapi ia ‘menjadi lebih teruk dalam dua bulan lalu’ disebabkan konflik Rusia-Ukraine. Kos pengeluaran untuk 1,200 anggota koperasi itu meningkat kira-kira 30 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, katanya.

    “Tahun ini, penternak mungkin akan bekerja tanpa mencari rezeki, tanpa mengaut keuntungan,” kata Satolias. “Kami khuatir ramai di antara kami akan meninggalkan industri, yang akan menjadi pembangunan yang merugikan.

    Di kawasan luar bandar, orang ramai tidak mempunyai apa-apa lagi untuk mencari rezeki. Kampung kami akan menjadi lengang.” Persatuan menganggap subsidi yang diumumkan oleh kerajaan tidak mencukupi. Mereka menyeru langkah sokongan yang lebih banyak supaya sektor itu kekal mampan.

    Dengan ketiadaan sokongan yang mencukupi semasa krisis, Zournas bimbang ramai di antara 1,000 penduduk Kleitoria – yang bergantung kepada haiwan mereka – akan berpindah ke pusat bandar.

    Zournas mempunyai tiga anak lelaki, tetapi tanpa insentif yang menyasarkan generasi muda khususnya untuk kekal dalam industri, dia bimbang tidak akan ada generasi kelima penternak dalam keluarganya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...