Krisis virus semakin teruk di Indonesia, kes lepasi 2 juta

JAKARTA, 21 JUN – Indonesia hari ini melepasi angka 2 juta jangkitan koronavirus ketika jangkitan semakin meningkat dan hospital-hospital dibanjiri pesakit baharu, membawa kepada amaran bahawa krisis kesihatan negara Asia Tenggara itu boleh menjadi tidak terkawal.

Peningkatan jumlah tidak diinginkan itu berlaku ketika kadar kes harian berganda dalam masa beberapa minggu kebelakangan dikaitkan dengan kegiatan balik kampung semasa sambutan Aidilfitri lalu dan varian yang mudah menular, Delta berasal dari India. Hari ini, angka rasmi menunjukkan bahawa Indonesia merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 14,536 kes, meningkatkan jumlah keseluruhan kepada lebih 2 juta dengan hampir 55,000 kematian dalam kalangan populasi hampir 270 juta orang.

Namun angka itu dianggap tidak dikira dengan betul, disebabkan ujian swab dan pengesanan kontak yang rendah – beberapa pakar mengatakan kes rasmi mungkin kira-kira 10 peratus lebih tinggi daripada jumlah sebenar.

“Ia mula timbul ke permukaan, seperti bom jangka,” kata Windhu Purnomo, seorang ahli epidemiologi di Universiti Airlangga, Indonesia.

“Ini hanyalah permulaan. Bergantung bagaimana ia ditangani, kita boleh berakhir dengan ledakan jangkitan seperti di India,” tambahnya.

Seorang ulama Islam mengetuai doa semasa pengebumian seorang lelaki di bahagian khas Kubur Awam Jombang yang diperuntukkan untuk mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Tangerang, Jakarta, Indonesia, 21 Jun. Indonesia menyaksikan kesnya meningkat kepada lebih dua juta orang kerana varian Delta dan perjalanan pulang ke kampung untuk Aidilfitri bulan lalu. – AP

Kadar kemasukan ke hospital juga meningkat lebih 75 peratus di Jakarta dan kawasan terjejas teruk, dengan pengebumian bagi mangsa COVID-19 terus meningkat.

Persatuan Perubatan Indonesia mengatakan varian Delta tampaknya membuatkan orang muda mudah sakit. “Sebelum ini, pesakit COVID-19 adalah orang tua atau mereka yang punya penyakit,” kata jurucakap persatuan itu, Erlina Burhan.

Namun sejak varian baharu dikesan, ramai pesakit adalah lebih muda dan tiada penyakit, tambahnya.

Perlanggaran peraturan memakai penutup mulut dan hidung dan protokol kesihatan lain berleluasa dan kesangsian terhadap vaksin adalah antara faktor yang memburukkan lagi keadaan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut menyeru bagi larangan pergerakan lebih tegas.

Kerajaan Indonesia yang dikritik secara meluas atas respons pandemik yang lemah, hari ini mengatakan ia akan kembali meneruskan pelaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Berskala Mikro (PPKM) sehingga 5 Julai, dengan mengetatkan lagi beberapa aktiviti sosio ekonomi.

Antaranya, pusat membeli belah dan restoran hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam, manakala beberapa jalan utama di Jakarta akan ditutup kepada lalu lintas bermula 9 malam hingga 4 pagi.

Dalam pada itu, sejumlah kes teruk dalam kalangan petugas perubatan yang diinokulasi turut membangkitkan persoalan mengenai suntikan vaksin Sinovac yang menjadi pergantungan meluas Indonesia untuk kempen vaksinasi lebih 180 juta penduduknya menjelang awal tahun depan. Bulan ini, lebih 300 doktor dan petugas kesihatan yang divaksin di Jawa Tengah, didapati dijangkiti COVID-19, dengan kira-kira separuh daripadanya dimasukkan ke hospital.

Hampir 1,000 petugas kesihatan Indonesia sudah pun maut akibat virus itu semenjak pandemik bermula.

Indonesia turut mempertingkatkan kempen inokulasinya dengan memperluaskan kempen kepada sesiapa sahaja berusia 18 tahun ke atas dan turut memberikan insentif seperti ayam percuma kepada orang tua yang mahu diinokulasi di kawasan desa Jawa Barat.

Namun maklumat salah mengenai pandemik menyebabkan ramai yang sangsi untuk mengambil vaksin. – AFP