Kru, kapal asing ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Sebuah kapal nelayan asing yang dipercayai menangkap ikan di perairan Negara Brunei Darussalam telah ditahan oleh anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa sidang media semalam, menjelaskan bahawa kapal nelayan asing tersebut berserta lima orang anak kapal iaitu seorang kapten dan empat orang anak kapal kesemuanya warga Vietnam telah diserahkan kepada Polis Marin, PPDB untuk siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 17 (1) Perintah Perikanan 2009, kapten kapal akan dikenakan denda tidak melebihi $100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Manakala itu, anak kapal akan dikenakan denda tidak melebihi $2,500 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurut PPDB, kes berkenaan masih dalam siasatan dan menyarankan orang ramai agar dapat menyalurkan sebarang maklumat yang melibatkan kegiatan-kegiatan jenayah di perairan Negara Brunei Darussalam.

Hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pegawai Pemerintah Polis Marin, Penguasa Polis (Supt) Haji Mahran bin Haji Ahmad.

Kapal Vietnam yang ditahan kerana dipercayai menangkap ikan di perairan Negara Brunei Darussalam. – Gambar serahan PPDB