Kru, penumpang kapal Westerdam bebas virus

SIHANOUKVILLE, 20 FEB – Kru sebuah kapal persiaran AS hari ini disahkan bebas daripada koronavirus maut, ketika perdana menteri Kemboja menegaskan bahawa bekas penumpang yang diuji positif, mungkin dijangkiti COVID-19 selepas dia meninggalkan negara itu.

Kapal Westerdam berada di lautan selama dua minggu, ditolak oleh lima buah negara atas kebimbangan penumpangnya mungkin membawa virus, yang membunuh lebih 2,100 orang di China. Namun Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen membenarkan ia berlabuh di pesisir selatan negara itu pada 13 Februari lalu dan beratus-ratus dibenarkan turun selepas pemeriksaan kesihatan asas. Antaranya ialah seorang wanita Amerika berusia 83 tahun yang kemudiannya singgah di Malaysia dan didiagnos positif virus itu.

Penemuan itu mencetuskan kebimbangan di seluruh rantau ketika penumpang semenjak itu sudah pun menaiki penerbangan pulang ke tanah air mereka. Penumpang yang berbaki dan 747 lagi anggota krunya diuji bagi virus itu di Kemboja namun semuanya negatif.

Hun Sen yang mempertahankan keputusannya membenarkan kapal itu berlabuh, gembira dengan keputusan tersebut. “Kita tidak menemuinya di sini. Adakah ia berlaku ketika dia tiba di Malaysia?” katanya dalam satu ucapan hari ini di Phnom Penh, merujuk kepada kes wanita Amerika itu. Operator kapal persiaran, Holland Amerika ‘dengan ikhlas berterima kasih’ kepada Kemboja. Westerdam dijangka meninggalkan negara itu dalam masa beberapa hari akan datang. –AFP

Penumpang dari kapal persiaran Westerdam menyaksikan persembahan penari Kemboja di sebuah hotel di Phnom Penh. Kru dan penumpang kapal itu hari ini disahkan bebas koronavirus dan dijangka meninggalkan negara itu dalam masa beberapa hari lagi. – AP