Kru, penumpang negatif virus

HONG KONG, 9 FEB – Ribuan penumpang yang terkandas selama lima hari di atas kapal persiaran di Hong Kong hari ini dibenarkan keluar selepas 1,800 kru kapal itu diuji negatif koronavirus.

Pihak berkuasa kesihatan di hab kewangan Asia itu berkata, kru dan sebilangan penumpang yang hampir sama jumlahnya telah dibebaskan daripada kuarantin yang dikenakan kerana bimbang sesetengah kakitangan dijangkiti virus yang membawa maut itu pada pelayaran sebelumnya dan menyebarkannya.

Kapal World Dream itu membawa tiga penumpang China ke Vietnam antara 19 dan 24 Januari yang kemudiannya didapati dijangkiti koronavirus seperti SARS, yang telah membunuh lebih 800 orang di China sejak ia dikesan pada bulan Disember.

Kerajaan menahan kapal itu pada hari ketibaannya di Hong Kong Rabu lalu, sambil ujian dijalankan ke atas kru, tetapi berkata penumpang tidak perlu menjalani pemeriksaan kerana mereka tidak berhubungan dengan tiga pelancong yang sakit pada perjalanan Januari.

Penumpang dan anak kapal yang diasingkan dalam kapal itu dijangka tinggal di kapal sehingga hari Selasa selepas pihak berkuasa Hong Kong mengatakan ujian akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat hari.

Namun, Ketua Pegawai Kesihatan Pelabuhan Leung Yiu-hong, hari ini berkata ‘semua keputusan ujian diperolehi petang ini dan semua menunjukkan negatif’. – AFP

Penumpang (kanan) akhirnya dibenarkan keluar dari kapal persiaran World Dream di terminal Kai Tak di Hong Kong pada 9 Februari. – AFP