Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kru PSV2 rai Jubli Emas

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Walaupun bertugas di atas kapal ketika rakyat dan penduduk di negara ini menyambut Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, ia tidak menghalang kru Kapal PSV2 untuk sama-sama meraikannya.

    Sehubungan dengan itu, seramai 22 orang anak kapal dan 18 orang anak tempatan yang beragama Islam telah berkumpul mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Jubli Emas berkenaan, yang turut dihadiri Kapten Jayan Kumar Paronjodi.

    Majlis yang diadakan di luar pantai sewaktu beroperasi di Laut Champion 7 itu telah diisi dengan Solat Sunat Hajat serta Solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Pegawai, Deni Usman.

    Kru Kapal PSV2 meraikan sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta ketika beroperasi di Laut Champion 7.

    Kapten Jayan Kumar yang berasal dari negara jiran dan sudah lebih 10 tahun bertugas di negara ini menyatakan Negara Brunei Darussalam cukup aman sambil memuji Baginda Sultan yang telah berjaya membawa dan meletakkan negara ini sebagai sebuah negara yang berupaya memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keamanan sejagat.

    Sementara itu, kru Kapal PSV2 mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan atas sifat pemedulian, keprihatinan dan kepimpinan adil lagi bijaksana Baginda dalam memerintah negara selama ini.

    Mereka juga merafakkan syukur dan berdoa semoga Allah S.W.T melanjutkan usia Baginda Sultan, kekal qarar menerajui Negara Brunei Darussalam ke arah sebuah Negara ‘Baidatun Tayyibatun Warabbun Ghaffur’ yang berpaksikan Konsep Melayu Islam Beraja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda