KSSUP adakan taklimat pencegahan rasuah

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga perkhidmatan awam mengenai bahaya serta risiko perbuatan rasuah, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Biro Mencegah Rasuah telah mengadakan taklimat mengenai pencegahan rasuah di Dewan Setia Pahlawan, kementerian berkenaan, kelmarin.

Majlis yang dihadiri lebih 100 pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan Taklimat Pencegahan Rasuah yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Penyiasat Khas, Biro Mencegah Rasuah, Haji Muhammad Hisham bin Haji Sulaiman.

Taklimat juga antara lain bertujuan bagi memberikan pengetahuan kepada pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan khususnya yang berkaitan dengan isu-isu yang boleh menyalahi akta dan peraturan Biro Mencegah Rasuah dan intergriti dalam perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, KSSUP juga telahmerancang beberapa siri taklimat yang melibatkan agensi-agensi penguatkuasa di negara ini sebagai salah satu inisiatif kementerian tersebut dalam menanamkan kesedaran di kalangan semua peringkat pegawai dan kakitangan untuk sentiasa melaksanakan segala tugasan dengan jujur, amanah, ikhlas serta bertanggungjawab.

Antara kakitangan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan yang menyertai taklimat tersebut. – Gambar serahan KSSUP