KSSUP anjur jerayawara garis pandu inap desa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengadakan jerayawara Tourist Accomodation Standard – Homestay PBD3-1:2016 khusus bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jerayawara berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif jabatan berkenaan untuk memberigakan mengenai standard yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan sebagai garis pandu bagi perkhidmatan inap desa di Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Kemajuan Pelancongan sebelum ini, mengadakan jerayawara yang sama di Daerah Temburong pada 6 Ogos lalu, Daerah Belait pada 6 September lalu dan Daerah Tutong pada 18 September lalu.

Jerayawara di keempat-empat daerah itu diadakan dengan kerjasama pihak Pusat Standard Kebangsaan, Kementerian Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian dan jabatan-jabatan daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Hadir semasa sesi jerayawara itu ialah Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta wakil dari majlis-majlis perundingan kampung di Daerah Brunei dan Muara.

Jerayawara berkenaan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai Tourist Accomodation Standard – Homestay PBD 31:2016 dan kriteria-kriteria tertentu bagi memastikan kualiti layanan dan kemudahan yang ditawarkan adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Standard berkenaan dibangunkan mengikut kriteria-kriteria yang terdapat pada ASEAN Homestay Standard dan juga dengan mengambil kira keadaan inap desa di Negara Brunei Darussalam.

Standard berkenaan dikeluarkan oleh Komiti Teknikal Standard Penginapan Pelancongan melalui Komiti Standard Pelancongan pada 24 Januari 2018 yang mana ia bertujuan untuk memastikan kemudahan-kemudahan yang ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha inap desa seperti tempat tidur, tandas, pemakanan dan aktiviti adalah berkualiti dan mengikut standard yang ditetapkan.Taklimat disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan dan Pusat Standard Kebangsaan di mana menerusi jerayawara berkenaan diharapkan dapat memberikan kesedaran mengenai standard tersebut yang sudah diguna-pakai dalam proses Pendaftaran Premis Pelancongan di jabatan itu seperti yang terkandung dalam Perintah Pelancongan 2016.

Pengusaha-pengusaha inap desa di Negara Brunei Darussalam disarankan untuk merujuk kepada standard berkenaan sebagai panduan dalam mengendalikan inap desa. Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan menyarankan mana-mana premis penginapan yang belum lagi berdaftar, termasuk inap desa supaya akan dapat membuat permohonan pendaftaran di Tingkat 3, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Bangunan KSSUP pada waktu bekerja.

Hadirin yang terdiri daripada warga ABCi, penghulu, ketua kampung dan wakil majlis perundingan kampung semasa menghadiri sesi taklimat Tourist Accomodation Standard – Homestay PBD31:2016 bagi Daerah Brunei dan Muara di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.