Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    KSSUP komited lindungi alam semula jadi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) tetap komited terhadap perlindungan dan pemuliharaan sumber hutan dan alam semula jadi negara ini di bawah Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam, iaitu Liputan Hutan yang diusahakan oleh KSSUP melalui Jabatan Perhutanan.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong semasa hari keempat permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, baru-baru ini.

    “Strategi ini bertujuan untuk meningkatkan penyerapan karbon melalui penghutanan (afforestation) dan penghutanan semula (reforestation) dengan sasaran menanam sebanyak 500,000 pokok menjelang tahun 2035,” tekannya.

    Yang Berhormat Dato berkata lagi, “Di bawah Protokol Hijau, kementerian-kementerian juga terlibat untuk menyokong Kempen 26,000 Pokok sepanjang tahun 2021 yang turut disertai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Green Brunei dan juga sektor swasta seperti Syarikat Minyak Brunei Shell, Hengyi Industries Sdn Bhd dan lain-lain.”

    Beliau menyatakan bahawa kawasan-kawasan penanaman berkenaan termasuk kawasan-kawasan di Hutan Simpan Berakas, Hutan Simpan Arboretum, Hutan Simpan Keluyoh, kawasan atau zon di antara Sungai Tutong dan Belait (Inter-Riverine Zone).

    Pegawai-pegawai dan kakitangan KSSUP, dan pengusaha-pengusaha sektor sumber-sumber utama merasa bersyukur kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini pertumbuhan keluaran sektor pertanian, ternakan, agrimakanan, dan sektor perikanan adalah penyumbang utama bagi pertumbuhan KDNK bukan minyak dan gas.

    Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kementeriannya akan terus komited untuk mengenal pasti serta memikirkan strategi-strategi dan inisiatif-inisiatif baharu bagi memastikan keluaran dari industri pertanian, perikanan, perhutanan serta pelancongan, akan terus menerus meningkat dari tahun ke tahun dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan KDNK.

    “Ini termasuklah untuk menggiatkan usaha bagi menarik penglibatan pengusaha-pengusaha baharu dalam bidang pertanian dan perikanan, termasuk penglibatan pihak GLC dan pelaburan langsung asing, menggalakkan para pengusaha-pengusaha yang berkenaan agar sentiasa komited, progresif dan bersemangat untuk mengembang majukan perusahaan serta aktiviti-aktiviti perladangan masing-masing; mengguna pakai teknologi serta teknik moden dan mengamalkan urus tadbir yang baik bagi memastikan keluaran akan terus meningkat dari tahun ke tahun dan menyumbang secara signifikan ke arah pertumbuhan KDNK,” tambahnya.

    Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan komited terhadap perlindungan dan pemuliharaan sumber hutan dan alam semula jadi negara ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...