KSSUP sasar kenaikan pelancong menjelang 2020

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menyasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah pelancong ke negara ini melalui laluan udara daripada 218,000 pada 2015 kepada 450,000 dalam tahun 2020.

“Ini adalah satu cabaran yang besar bagi pihak jabatan dan kementerian tetapi tujuannya memang untuk menarik para pelancong. Alhamdulillah dengan adanya bantuan daripada pelbagai agensi juga telah dapat memudahkan para pelancong untuk mendapatkan visa ke Brunei Darussalam.”

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dalam temu bual di Majlis Perasmian Pakej Pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara, di Dermaga Diraja di ibu negara, semalam.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, untuk mencapai sasaran berkenaan, inisiatif membuat pakej-pakej yang lebih jelas dengan tawaran yang berpatutan juga dapat membantu meningkatkan lagi jumlah pelancong.

Beliau turut menekankan bahawa peranan pemandu pelancong di negara ini penting dalam memberikan maklumat yang signifikan, menarik dan tepat terhadap sesuatu tempat yang menarik di negara ini.

ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa melawat pameran 1K1P.
ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa melawat pameran 1K1P.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, yang turut merasmikan Jejak Warisan (Heritage Trail) Brunei Darussalam.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, yang turut merasmikan Jejak Warisan (Heritage Trail) Brunei Darussalam.

OIeh itu, Yang Berhormat Dato menyeru agar para belia di negara ini akan dapat dilatih menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan sekolah-sekolah swasta yang menawarkan kursus-kursus pemandu pelancong agar mereka memupuk rasa minat untuk menjadi seorang pemandu pelancong tempatan.

Menyentuh mengenai pakej pelancongan yang baru dilancarkan berkenaan, Yang Berhormat Dato berkata, ia merupakan kerjasama padu bersama dua buah kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

Dengan inisiatif ini, jelasnya, pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan akan lebih teratur dan jelas termasuk tempat-tempat menarik di kawasan ibu negara dan juga Kampong Ayer agar para pelancong dapat mengetahui cara-cara untuk berkunjung ke tempat-tempat berkenaan.

Menurut beliau lagi, Pusat Maklumat Pelancongan yang telah ditubuhkan oleh KSSUP di Galeri Seni, Dermaga Diraja, di ibu negara pula akan dapat memberikan kemudahan kepada para pelancong yang berkunjung untuk mengetahui pakej yang ditawarkan.

Manakala itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa ditemui pihak media pula menyatakan bahawa pelancaran pakej berkenaan sesuai pada masanya khususnya apabila Bandar Seri Begawan diisytiharkan sebagai ‘Bandar Kebudayaan’ ASEAN bagi dua tahun akan datang.

“Kita berharap dengan kerjasama semua agensi yang berkenaan termasuklah sektor swasta yang terlibat dalam bahagian pelancongan, kita akan dapat sama-sama mempromosikan Bandar Seri Begawan dan juga Kampong Ayer sebagai pusat ataupun tempat tarikan kepada pelancong-pelancong dalam negeri dan juga luar negeri,” ujarnya.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) mempunyai potensi yang besar untuk diperkembangkan di negara ini kerana negara masa ini mempunyai 201 produk dari lebih 76 buah kampung.

Sehubungan dengan itu, tambah beliau, mereka ini haruslah diberikan sebuah platform atau sebuah tempat untuk mempromosikan produk-produk tersebut.

Pada masa ini, promosi-promosi demikian dilaksanakan melalui karnival ataupun jualan 1K1P sama ada di peringkat daerah ataupun peringkat negara yang mana jualan mereka di acara-acara seperti ini meningkat.

“Sebagaimana yang kita ketahui bahawa pelancong bukan sahaja datang untuk menyaksikan tempat-tempat bersejarah dan menarik tetapi juga melihat kepada bahan-bahan atau produk-produk yang boleh mereka nikmati atau dibawa balik sebagai buah tangan.”

Dengan cara ini, jelas Yang Berhormat Pehin lagi, akan dapat melengkapkan dan mempromosikan bidang pelancong dengan pelbagai jenis produk yang ditawarkan kepada para pelancong.

Dalam temu bual bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof pula telah menekankan peranan penting belia dalam menjayakan inisiatif pakej pelancongan berkenaan kerana, menurutnya, belia merupakan aset dalam meneruskan kejayaan inisiatif tersebut termasuk pendedahan kepada bidang keusahawanan yang dapat membantu memajukan sektor pelancongan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menjelaskan lagi bahawa belia perlu didedahkan kepada kesukarelawanan walaupun tanpa mengharapkan pulangan, mereka juga berperanan sebagai pemandu pelancong di negara ini.