KSSUP semarak Maal Hijrah 1442

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) juga tidak ketinggalan menyemarakkan Awal Tahun 1442 Hijrah dengan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan KSSUP, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

Turut hadir Setiausaha Tetap, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Abdul Haldi bin Haji Mohd Salleh, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan KSSUP dan jabatan-jabatan serta bahagian-bahagian di bawahnya. Majlis didahului dengan bacaan hafazan ayat-ayat suci Al-Quran serta terjemahannya oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Mentaati Perintah dalam Norma Baharu’ yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

Majlis yang merupakan kegiatan tahunan KSSUP itu turut dihadiri oleh pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bersama tetamu lain pada majlis sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan KSSUP, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani