Kualiti air tidak konsisten punca air kekuningan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan orang ramai bahawa isu warna air kekuningan di beberapa tempat dalam beberapa hari kebelakangan ini adalah disebabkan oleh pH air bersih yang rendah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, JKR menjelaskan bahawa perubahan kualiti air mentah sungai yang tidak konsisten dan tidak baik adalah sukar dirawat serta memerlukan peningkatan pada tambahan kuantiti kimia tertentu yang mana kesannya akan sedikit mengambil masa. Pada masa yang sama, JKR juga memaklumkan orang ramai bahawa pada masa ini Loji Rawatan Air Bukit Barun Peringkat 4 dan 5 sedang berada di bawah projek kerja-kerja membaik pulih kini dalam peringkat ujian (testing & commissioning) sistem baharu bagi penyediaan atau pencampuran kimia kapur (Calcium Carbonate) dan Hydrated Lime.

Kimia-kimia berkenaan berfungsi bagi meninggikan atau menyelaraskan pH air mentah yang rendah dan seterusnya mendapatkan lingkungan pH air bersih menurut garis pandu Piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Oleh itu, tempoh peralihan (transition period) bagi penggunaan sistem baharu itu akan mengakibatkan pH air bersih yang tidak konsisten dan memerlukan rawatan yang lebih rapi dan terperinci terutama sekali dos kimia-kimia yang digunakan di dalam merawat pH air mentah yang rendah.

Walau bagaimanapun, tambah kenyataan, pihak loji rawatan air sedang giat berusaha untuk mengawal dan memastikan kualiti bekalan air agar sentiasa mencapai parameter garis pandu piawaian WHO untuk air bersih. Ujian makmal bagi tahap pH, warna, kekeruhan (turbidity), klorin dan sebagainya dilakukan setiap dua jam setiap hari. JKR juga menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai tangki rumah dan penapis air sendiri untuk memastikannya sentiasa dalam keadaan bersih dengan melakukan rutin flushing dan backwashing.

Tangki rumah dan penapis air yang lama tidak dibersihkan akan menyebabkan air berubah warna walaupun keadaan bekalan air di luar kawasan rumah jernih.

Di samping itu, pihak jabatan juga sentiasa menjalankan pemantauan rutin ujian sampel air dari beberapa buah lokasi di Daerah Brunei dan Muara serta melaksanakan operasi flushing rangkaian paip air secara berterusan di kawasan-kawasan terlibat. JKR juga mengambil peluang ini untuk memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.

JKR dalam kenyataannya lagi, meminta maaf atas perkara berkenaan dan berterima kasih atas kefahaman dan kesabaran orang ramai yang terlibat.