Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Rokiah Mahmud & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap keluhan dan sungutan orang ramai telah menyebabkan Baginda berangkat turun padang membuat lawatan ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), kelmarin.
Semasa keberangkatan itu, Baginda bertitah menekankan JIPK adalah sebuah jabatan yang menjadi tumpuan ramai bagi membuat urusan-urusan tertentu. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, banyak masalah berlaku terutama sungutan mengenai kelambatan memproses permohonan orang ramai.
Ini menyangkut kelemahan pengurusan atau ketiadaan pegawai khusus yang bertanggungjawab untuk memantau dan memberikan keputusan atau boleh berlaku kerana dasar yang sedia ada tidak dikemas kini.
Baginda bertitah, antara isu paling mencabar ialah mengenai kad pengenalan pintar (KPP).
“Menurut kenyataan pihak JIPK, permohonan bagi penggantian KPP kuning dan ungu telah dibukakan semula pada 19 September 2022, di samping mengekalkan permohonan pendaftaran bagi pemohon yang berumur 12 tahun,” titah Baginda.
Baginda juga difahamkan bahawa Brunei menggunakan sistem yang dibina oleh syarikat dari Jerman, Dermalog yang menurut syarikat berkenaan, Brunei merupakan negara pertama dunia yang memperkenalkan kad pengenalan dengan biometrik cap jari bersepadu, tetapi ia masih menunggu keberkesanannya.
“Sekarang kita berada di era KPP baharu, salah satu keunikan KPP ini, ia sukar untuk dibuat salinan atau dipalsukan tetapi masih saja menjadi kewalangan, bagaimana kad tersebut tidak boleh disalin.
“Di samping timbul juga kekhuatiran sekiranya sindiket pemalsuan mungkin saja mampu di kalangan warga JIPK sendiri dan dalam makna belum ada jaminan dari segi keselamatan.”
Dalam perkara itu, Baginda bertitah supaya perkara berkenaan diajukan kepada ITPSS selaku wakil syarikat Dermalog untuk memberikan penjelasan terperinci.
Mengenai pembahagian dokumen perjalanan pasport, Baginda menekankan bahawa kedengaran masalah disiplin dan etika kerja tidak dipatuhi seperti lambat datang semasa bertugas.
“Perkara ini jangan dipandang ringan kerana risikonya boleh menjejaskan khidmat dan imej yang tidak elok kepada kerajaan,” tegas Baginda.
Titah Baginda lagi, sejak pembukaan sempadan darat dan orang ramai berpusu-pusu untuk memperbaharui pasport di JIPK dan cawangannya, hanya satu saja mesin pencetak yang berfungsi di Ibu Pejabat JIPK sementara yang lain mengalami kerosakan.
Turut memburukkan lagi keadaan, segala permohonan di cawangan seluruh negara dihantar ke ibu pejabat untuk proses pencetakan kerana cawangan lain tidak disediakan mesin pencetak.
“Ini menjadi faktor berlakunya tunggakan dan melambatkan proses penyiapan pasport hingga melepasi tempoh yang ditetapkan,” tambah Baginda.
Di samping itu, menurut Baginda lagi, masalah ketara yang belum ditemui jalan penyelesaian adalah barisan panjang yang didakwa sebagai barisan untuk membaharui pasport di Ibu Pejabat JIPK dan ini disebabkan beberapa faktor antaranya pembatasan pemberian nombor dan kelambatan urusan di kaunter.
Ini menyebabkan orang ramai dilihat beratur seawal pukul 4 pagi bagi mendapatkan nombor giliran dan barisan panjang kereta menuju ke Ibu Pejabat JIPK dapat dilihat dari seawal 5 pagi.
“Ini ternyata isu jumlah nombor giliran yang terhad dan telah menyebabkan orang ramai terpaksa datang awal untuk mendapatkannya dan untuk ini, apa ikhtiar untuk mengatasinya,” tegas Baginda.
Baginda difahamkan ikhtiar itu ada dengan menambah kerusi di kawasan lobi dan luar pintu ke Ibu Pejabat JIPK termasuk memasang beberapa khemah di luar bangunan serta menambah kaunter perkhidmatan seterusnya menambah masa bagi kaunter itu dibuka.
“Semua ini masih kurang efektif, apakah ada ikhtiar lain selain itu, sepatutnya mestilah ada dan mengapa tidak dicuba penghantaran borang secara drop-off saja.
“Ini telah pernah dipraktikkan semasa pandemik COVID-19 dan jika kaedah ini dipakai, rasanya tidaklah perlu bagi menunggu lama hanya kerana untuk mendapatkan nombor giliran,” titah Baginda.
Selain itu, Baginda menekankan, banyak perkara lain yang masih memerlukan perhatian termasuk isu rasuah yang mendalangi pengurusan dan pentadbiran.
Baginda sebutkan sebagai peringatan kerana manalah tahu kalau masih ada yang terlibat, sekalipun beberapa orang telah disiasat dan diambil tindakan mengenainya.
Di samping itu, keadaan di pos kawalan juga memerlukan pemantauan secara menyeluruh dari bangunan tempat bertugas sampai ke kabin pemeriksaan dan laluan kenderaan biasa dan kenderaan berat adalah mustahak untuk dipantau malah dipastikan keadaannya sentiasa baik dan selamat.
“Bukan membiarkan bangu-nan terlalu sempit, kabin sudah usang dan jalan dibiarkan rosak serta laluan kenderaan biasa disatukan dengan kenderaan berat tanpa menghiraukan risiko bahaya yang mungkin berlaku,” tegas Baginda.
Hadir mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ke JIPK ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.