Kualiti udara meningkat semasa sekatan COVID-19

GENEVA, 3 SEPT – Perintah berkurung dan sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19 membawa kepada peningkatan mendadak dalam kualiti udara dan penurunan dalam pencemaran, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) hari ini, tetapi mengingatkan perubahan tersebut bukan pengganti kepada tindakan jangka panjang.

Satu laporan baharu daripada Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) PBB mendapati sekatan COVID-19 pada tahun lalu mempertingkat kualiti udara di beberapa tempat, terutamanya di kawasan bandar.

Namun mereka juga mendorong peningkatan dalam sesetengah bahan pencemar yang membawa kemudaratan kepada kesihatan dan kesan tidak jelas ke atas perubahan iklim.

“COVID-19 terbukti satu uji kaji kualiti udara tanpa dirancang,” kata ketua WNO Petteri Taalas dalam satu kenyataan.

“Namun satu pandemik bukan pengganti kepada tindakan sistematik untuk mengatasi pencemaran dan perubahan iklim dan dengan itu melindungi kesihatan penduduk dan juga planet.”

Pencemaran udara, terutamanya membabitkan partikel kecil, menjejas teruk kesihatan manusia, dan dikaitkan dengan jutaan kematian setiap tahun.

Laporan WMO adalah berdasarkan kajian mengenai bahan pencemaran udara utama yang bertindak balas di puluhan bandar di seluruh dunia.

Analisis menunjukkan pengurangan 40 peratus dalam kepadatan partikel kecil semasa sekatan sepenuhnya berbanding dengan tempoh yang sama pada 2015-2019.

Ia bermakna kualiti udara yang lebih baik, walaupun kualiti merosot semula apabila pelepasan kembali meningkat selepas sekatan. – AFP

Gambar fail menunjukkan jerebu tebal menyelubungi Bandar Mexico. Agensi cuaca PBB berkata kawasan bandar di seluruh dunia mengalami kemerosotan dalam pencemaran udara pada tahun lalu di tengah sekatan yang dikenakan akibat pandemik COVID-19. – AP