Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Negara Brunei Darussalam mengalami kualiti udara yang baik tanpa asap jerebu rentas sempadan secara berterusan sepanjang 2021.
Dalam hubungan itu, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid mengucapkan penghargaan kepada semua negara Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Menteri-menteri Rantau ASEAN Selatan Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC) atas usaha mengurangkan pencemaran jerebu rentas sempadan.
Walau bagaimanapun, musim kemarau belum berakhir dan disebabkan perubahan iklim, ia boleh memanjangkan tempoh keadaan cuaca kering, jelasnya lagi dalam perkongsian semasa Mesyuarat MSC ke-23 yang berlangsung melalui sidang video dengan Malaysia sebagai tuan rumah bagi mesyuarat, kelmarin.
Beliau turut menggesa semua negara MSC untuk meningkatkan usaha mereka dan maju ke hadapan bagi penyelesaian secara pragmatik dalam menyelesaikan masalah jerebu. Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri atau wakil yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand serta Setiausaha Agung ASEAN.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Delegasi Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Muhammad Juanda dengan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dan Jabatan Perhutanan.
Mesyuarat mengambil maklum tentang maklumat keadaan cuaca dan asap jerebu yang dibentangkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).
Keadaan titik panas dan asap jerebu bagi rantau ASEAN agak stabil antara Januari dan Jun 2022. Manakala itu, keadaan La Nina yang sedia ada dijangka akan berkurangan dan seterusnya fenomena Indian Ocean Dipole Negatif akan bermula pada Julai/Ogos 2022.
ASMC membuat penilaian melalui tinjauan awal meteorologi bahawa keseluruhan keadaan asap jerebu di rantau ASEAN selatan, tahun ini akan lebih baik daripada keadaan asap jerebu pada 2015 dan 2019.
Mesyuarat juga mengambil maklum usaha berterusan ASMC dalam meningkatkan keupayaan teknikalnya bagi me-ningkatkan produk dan perkhidmatannya yang menyokong pemantauan kebakaran atau jerebu, penilaian dan ramalan awal serta ramalan cuaca dan iklim di rantau ASEAN, termasuk produk kawasan titik panas dan klimatologi jerebu, model kualiti udara dan ramalan musim ke musim untuk persediaan awal risiko bencana.
ASMC memaklumkan mesyuarat bahawa seramai 143 peserta telah menghadiri kursus latihan dan forum teknikal yang telah dijalankan tahun lepas sebagai sebahagian daripada Program Lima Tahun Pembinaan Keupayaan Serantau.
Mesyuarat menyokong hasil Kajian Akhir Pelan Hala Tuju Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dengan Cara Pelaksanaan yang telah membolehkan negara-negara ASEAN mengambil kira kemajuan dan mengekalkan momentum dalam memastikan penambahbaikan untuk mencapai visi ASEAN Bebas Jerebu melalui cadangan pelan hala tuju yang diperbaharui untuk ASEAN.