Kuarantin dipendekkan jika ujian virus negatif

LONDON, 24 NOV – Pengembara dari luar England bakal menjalani perintah kuarantin lebih singkat iaitu lima hari sahaja selepas ketibaan jika saringan COVID-19 mereka didapati negatif, umum kerajaan United Kingdom (UK).

UK berharap peraturan baharu itu akan memulihkan semula industri pelancongan khususnya penerbangan yang mengalami kerugian besar susulan sekatan udara akibat penularan pandemik itu.

Peraturan itu akan dilaksanakan mulai 15 Disember ini kepada semua individu yang tiba di England melalui udara, feri atau kereta api.

Peraturan ketika ini mewajibkan individu menjalani kuarantin selama 14 hari jika memasuki UK.

Penumpang dikehendaki membuat tempahan untuk membuat ujian dan kuarantin sebelum memulakan perjalanan ke UK, manakala individu yang memilih untuk tidak berbuat demikian perlu menjalani kuarantin selama dua minggu.

Gambar fail pada 8 Jun 2020 menunjukkan kru penerbangan British Airways menggunakan penutup mulut dan hidung ketika tiba di Lapangan Terbang Heathrow. Pengembara dari luar England bakal menjalani perintah kuarantin lebih singkat jika ujian mereka negatif. – AFP

“Strategi saringan terbaharu ini membolehkan kita lebih bebas melakukan perjalanan, berjumpa insan tersayang dan melakukan urusan antarabangsa.”

“Dengan memberikan orang ramai pilihan untuk menjalani saringan selama lima hari, kita turut menyokong industri pelancongan yang perlu dipulihkan akibat pandemik,” kata Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps.

Kerajaan UK menetapkan dasar pengangkutan untuk England, manakala Scotland, Wales dan Ireland Utara melaksanakan peraturan sendiri.

London bertindak mengubah keputusan apabila melihat bukti kuarantin selama lima hari memberikan keputusan lebih baik, berbanding saringan sejurus ketibaan. Strategi baharu itu turut dilengkapi dengan pelan kewangan untuk pengangkutan komersial di England.

London kini menumpukan kepada rancangan tersebut. – AFP