Sunday, January 26, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuasai Bahasa Arab dalam, luar kelas

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Sempena Hari Bahasa Arab Sedunia, Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Forum Bahasa Arab secara dalam talian, kelmarin, yang dihadiri lebih 70 orang penggiat Bahasa Arab.

    Pada forum kali ini, Pusat Bahasa menjemput tiga ahli panel dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia.

    Panel pertama ialah Profesor Madya Dr El Sayed Mohamed Salem dari Universiti Islam Zainal Abidin, Terengganu Malaysia, panel kedua ialah Dr Ahmad Asri Lubis dari KUPU SB dan terakhir adalah Dr Rojja Febrian dari Universitas Islam Riau, Indonesia.

    Profesor Madya Dr El Sayed Mohamed Salem dalam forumnya telah menghuraikan tentang tamadun Bahasa Arab yang nampak jelas perkembangannya di negara-negara Melayu di Asia Tenggara.

    Menurutnya, antara bukti nyata yang boleh dilihat ialah seperti kemasukan perkataan Arab ke dalam Bahasa Melayu misalnya penggunaan nama Bahasa Arab dalam pemberian nama kepada anak damit yang baru lahir.

    Tiga ahli panel bersama para penggiat Bahasa Arab ketika menyertai Forum Bahasa Arab secara dalam talian. – Gambar serahan KUPU SB

    Selain itu, penggunaan perkataan Bahasa Arab juga boleh dilihat pada nama-nama tempat dan banyak lagi.

    Manakala Dr Ahmad Asri Lubis menyatakan bahawa cara untuk menjaga Bahasa Arab ini ialah dengan terus mempelajari dan memahami kitab suci Al-Quranul Karim, hadis-hadis Rasulullah dan kitab-kitab Taurat.

    Selain itu, Dr Rojja Febrian menerangkan cara untuk menguasai Bahasa Arab itu antara lain ialah dengan menggalakkan pelajar untuk mengguna pakai Bahasa Arab bukan sahaja di dalam kelas, bahkan di luar kelas.

    Dengan cara sebegitu, katanya, Bahasa Arab setentunya akan terus diguna pakai dan berkembang.

    “Jika seorang guru menginginkan pelajarnya untuk fasih dan beraniberbahasa Arab, maka guru tersebut perlu memberikan contoh yang sama dengan berani dan yakin berbahasa Arab di hadapan pelajar,” tekannya lagi.

    Dengan tema ‘Bahasa Arab Sebagai Sebuah Jambatan Peradaban’ ia menegaskan kembali akan kepentingan Bahasa Arab dalam menghubungkan pelbagai bangsa di dunia melalui penyebaran budaya, sains, sastera dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda