BAITULMAQDIS, 20 JAN – Kereta kebal Israel melepaskan beberapa siri tembakan ke arah kubu Hamas malam tadi.
Tentera Yahudi Israel berkata, ia sebagai serangan balas terhadap roket yang dilancarkan dari kawasan Palestin.
“Sebuah roket dilancarkan lewat malam tadi dari Semenanjung Gaza dengan menyasarkan kawasan Israel.
“Sebagai tindak balas, kereta kebal Israel membedil kubu Hamas,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.
Berdasarkan kenyataan sebelum ini, serangan roket berkenaan difahamkan membedil kawasan terbuka selepas tiada siren amaran berbunyi di zon dipenuhi bangunan.
Sehingga kini, tiada laporan berhubung angka kematian dikeluarkan, susulan serangan roket yang kedua seumpamanya dalam tempoh beberapa hari ini.
Pada Isnin lalu, pejuang di Semenanjung Gaza melancarkan dua roket ke arah bandar pesisir Israel, Ashdod, namun sumber memaklumkan roket berkenaan jatuh di Laut Mediterranean.
Menerusi serangan balas, Israel kemudian membedil beberapa kemudahan Hamas di timur Gaza menggunakan jet pejuang.
Rakyat Palestin di Gaza dan wilayah Tebing Barat yang dikuasai Israel, bakal mengadakan pilihan raya presiden serta badan perundangan, pada Mei dan Julai depan, buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun. – AFP





























