Kubur besar pra-Colombia ditemui

LIMA, 12 NOV – Pakar arkeologi menemui kubur besar zaman purba yang mengandungi lelaki, perempuan dan kanak-kanak pra-Colombia di kota kubu Chan Chan di utara Peru, menurut seorang daripada ahli kumpulan semalam.

Mereka menemui peninggalan kira-kira 25 orang, kebanyakannya perempuan dan kanak-kanak, serta puluhan bekas seramik dan objek seperti jarum yang digunakan untuk kerja-kerja tekstil, pakar arkeologi, Jorge Meneses memberitahu AFP.

Kubur tersebut ditemui kira-kira tiga minggu lalu di Chan Chan, 500 kilometer utara ibu kota Lima.

Peninggalan manusia masih dalam keadaan utuh, kata Meneses. Chan Chan merupakan kota kubu peradaban Chimu, yang berkembang antara tahun 900 dan 1450 di pesisir utara Peru sebelum dikalahkan oleh puak Incas.

Chan Chan bermaksud ‘kegemilangan matahari’ dalam bahasa Chimu.

Kota kubu itu dibangunkan dalam kawasan kira-kira 20 kilometer persegi, mempunyai 10 lapisan dinding dan 30,000 orang penduduk semasa zaman kegemilangannya.

Ia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 1986, dan turut diletakkan sebagai Warisan Dunia dalam Bahaya.

Peninggalan pra-Colombia dan artifak sering ditemukan di Peru. Bulan lalu, pekerja paip gas jalanan di Lima terjumpa bekas kawasan perkuburan termasuk bekas pengebumian seramik berusia 2,000 tahun. – AFP