Kuching City berada di landasan tepat

JOHOR BAHRU, 14 SEPT – Pasukan Kuching City FC berada di landasan tepat untuk layak ke saingan Piala Malaysia 2021 apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Premier, petang ini.

Turun selaku tuan rumah di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di sini, ‘The Cats’ membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi kapten Joseph Kalang Tie, yang meledak masuk hantaran lintang Michael Ijezie di sebelah kiri gawang.

Skuad Projek FAM-MSN hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-26, namun percubaan MuhammadAmirul Akmal Safarinizam gagal membuahkan hasil.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-48 menerusi penyerang import dari Nigeria Ijezie, hasil hantaran daripada Kalang Tie.

Keputusan itu menyaksikan Kuching City memintas Kelantan FC ke tangga ke tujuh berdasarkan kelebihan jaringan dengan 24 mata selepas 17 perlawanan setakat ini, manakala Skuad Projek FAM-MSN menamatkan musim di tangga tercorot daripada 11 pasukan dengan enam mata.

Kuching City hanya memerlukan tiga mata daripada baki tiga aksi untuk layak ke Piala Malaysia apabila pasukan ‘feeder’ seperti Johor Ta’zim (JDT) II yang menghuni tangga ketiga, Terengganu FC II (4) dan Selangor FC 2 (6) tidak boleh beraksi dalam kejohanan berprestij itu.

Hanya lima pasukan terbaik Liga Premier (tidak termasuk kelab feeder) layak beraksi di Piala Malaysia 2021.- Bernama