Kuching FC tidak gentar saingan Piala Malaysia

KUCHING, 5 OKT – Kuching FC yang telah mengesahkan tempat dalam Piala Malaysia, tidak akan gentar ketika berhadapan dengan pasukan lawan yang lebih kuat dalam kejohanan itu nanti, kata Penolong Jurulatihnya Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah.

“Walaupun belum pernah ada pengalaman dalam Piala Malaysia, ditambah pula bersaing dengan pasukan-pasukan ternama, itu bukan penghalang bagi pasukan kami untuk memberi saingan sengit,” katanya selepas perlawanan bertemu Johor Darul Takzim II (JDT II) di Stadium Negeri di sini malam tadi.

Pada perlawanan Liga Premier itu, pasukan tuan rumah membuat kejutan dengan menewaskan JDTII, 2-1.

Ahmad Nurfaizal berkata kejayaan Kuching FC menempatkan diri mereka dalam kelompok lapan pasukan teratas Liga Premier, adalah pencapaian yang amat memberangsangkan dan menambah semangat pemainnya untuk bekerja lebih keras lagi, dalam saingan Piala Malaysia. – Bernama