Kucing dalam terowong kipas ekzos diselamatkan anggota JBP

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Ketekunan dan kecekapan anggota bomba dan penyelamat dalam melaksanakan tugas telah berjaya untuk menyelamatkan seekor kucing yang terkurung dalam terowong kipas ekzos di sebuah pusat membeli-belah di Manggis, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi C, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, panggilan bagi kejadian berkenaan diterima pada pukul 1:35 petang dan dua buah jentera dari Balai Bomba Berakas dan Balai Bomba Unit Operasi Wanita bersama 12 orang anggota yang diketuai oleh DSO Haji Jublee bin Haji Abdul Jalil dan ASO Siti Azizah binti Haji Bagul dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati seekor kucing berada dalam terowong kipas ekzos yang sempit dan terkurung sedalam kira-kira 4 hingga 5 meter dengan laluan yang mempunyai selok-belok menuju ke lokasi kucing berkenaan.

Mereka bertindak menyelamatkan kucing berkenaan dengan menggunakan penangkap khas dan tali bagi tindakan awal tetapi kucing berkenaan didapati berada jauh ke dalam. Bantuan dari Balai Bomba Berakas bertindak menyiasat dan menjumpai laluan untuk masuk dengan ruang ke dalam 2 hingga 3 meter ke lokasi kucing itu.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak menggunakan teknik kebombaan bagi menyelamatkan kucing itu dengan memotong terowong saluran pengudaraan menggunakan unit cutter power dan seterusnya memasuki terowong untuk menyelamatkan kucing berkenaan di mana operasi berkenaan mengambil masa sejam 20 minit.

Gambar serahan JBP menunjukkan seorang anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap dalam terowong kipas ekzos di sebuah pusat membeli-belah di Manggis, kelmarin.
Kucing yang terperangkap di dalam terowong kipas ekzos di sebuah pusat membeli-belah di Manggis berjaya diselamatkan oleh anggota JBP, kelmarin. – Gambar serahan JBP