Kucing mutan tetap tarikan utama di Muzium Hemingway

KEY WEST, AMERIKA SYARIKAT (AS) – Rumah yang pernah dihuni oleh penulis Ernest Hemingway di Florida Keys yang dahagakan lawatan daripada pengunjung antarabangsa, terus bergelut untuk beroperasi.

Hampir kesemua kakitangannya telah diberhentikan semasa wabak koronavirus, namun kucing berjari enam yang tinggal di sana masih menarik penduduk tempatan ke lokasi tersebut.

Setelah kematian penulis tersebut pada 1961, kediamannya diubah menjadi salah satu tarikan pelancongan terkemuka di Key West, yang dekat dengan Havana berbanding ke Miami, kawasan yang dikenali dengan gaya hidup libur, aktiviti menyelam dan berjemur.

Penduduknya dapat bertahan daripada taufan ganas dan kemerosotan ekonomi pada masa lalu, tetapi tidak ada yang mempersiapkan mereka bagi kejatuhan pelancongan yang disebabkan oleh wabak itu.

Pelancong asing tidak dapat berkunjung ke sana kerana sempadan ditutup dan tidak ada kapal persiaran yang berlabuh sejak bulan Mac.

Billy Holliday, salah seekor kucing berjari enam yang tinggal di Rumah dan Muzium Ernest Hemingway di Key West, Florida. – AFP
Gambar fail menunjukkan pemandangan sebahagian jambatan Seven Mile di Semenanjung Florida. – AFP
Pengarah Rumah dan Muzium Ernest Hemingway, Andrew Morawski ketika membelai seekor kucing berjari enam. – AFP
Beberapa pelancong yang mengunjungi Rumah dan Muzium Ernest Hemingway. – AFP
Penduduk di Key West, Florida, Jack Reichenbach yang menjual lukisan cat air. – AFP

Ia hanya bergantung kepada pelancongan domestik, tetapi masih terjejas disebabkan koronavirus bertambah genting di Florida.

Hal tersebut menyebabkan 30 daripada 45 pekerja muzium diberhentikan pada minggu lalu.

“Saya mempunyai lebih 10 pemandu pelancong. Sekarang, saya mempunyai empat sahaja,” kata pengarah laman web itu, Andrew Morawski.

Mereka yang masih bekerja terpaksa membahagikan kerja antara mereka kerana rumahnya tetap dibuka, menawarkan lawatan dan mengendalikan koloni besar kucing berjari enam yang diwarisi daripada famili kucing yang memiliki keanehan genetik yang diberikan kepada Hemingway sebagai hadiah beberapa dekad yang lalu.

“Kami merancang untuk terus beroperasi, terutama bagi memastikan semua kebajikan kucing ini terus terjaga,” kata Morawski.

Sungguhpun demikian ia bukanlah tugas kecil, pelancong tempatan yang tiba ke Key West lebih berminat pada kucing-kucing mutan ini daripada gaya hidup penulis buku ‘Old Man and the Sea’ itu.

Hemingway, yang memenangi anugerah Nobel Literature pada tahun 1954, “sudah kurang dikenali, terutama di Amerika Syarikat, tidak seperti ketika beliau pada zaman dulunya,” kata pengarah muzium itu.

Atas sebab itu, “kucing-kucing nampaknya menjadi lebih daripada tarikan,” katanya.

Cuaca panas di Key West sentiasa berterusan. Penutup mulut dan hidung yang dipakai pengunjung dibasahi keringat ketika pemandu pelancong menceritakan kisah penulis dan isterinya Pauline, sementara seorang pekerja muzium lain menuangkan ais ke dalam mangkuk air kucing.

“Aww, comelnya,” kata pelancong.

Waktu malam di Key West

Key West pulau terumbu karang merupakan paling hujung dalam rentetan pulau di Florida yang terbentang sejauh 110 batu (175km) di hujung selatan negeri ini telah dihubungkan dengan 42 jambatan.

Penyanyi lagu rentak country, Jimmy Buffett telah mendedikasikan lagunya ‘Margaritaville’ bagi pulau itu yang kini menjadi pusat sukan air yang dipenuhi dengan rumah-rumah pantai dengan peti surat yang berbentuk seperti manati atau burung flamingo.

Pada lewat petang, beberapa pelancong berkumpul di dataran untuk menyaksikan matahari terbenam.

“Dulunya, ia sangat sibuk di sini, terlalu ramai orang sehingga sukar untuk berjalan, dan sekarang tidak ada orang di sini,” kata Jack Reichenbach, seorang penduduk berusia 67 tahun yang kehilangan pekerjaannya semasa wabak itu dan yang berusaha menjual beberapa lukisan cat air dengan berlatarbelakangkan pemandangan lautan.

“Segala-galanya cukup teruk di sini,” katanya.

Buat pertama kalinya dalam masa bertahun-tahun, pelancong tidak perlu bersesak-sesak atau beratur untuk mengambil gambar mereka di hadapan pelampung yang menandakan titik paling selatan di daratan AS.

Di antara mereka yang menunggu matahari terbenam adalah pelancong dari New York, Carol D, 65, yang sering mengunjungi Key West yang bertanya kepada wartawan AFP, lokasi mana yang sudah dikunjunginya.

Ketika wartawan menjawab ‘rumah Hemingway’, Carol menyatakan dia tidak tahu tempat itu, tetapi berkata dengan penuh keterujaan: “Anda mesti melihat rumah kucing itu!”

“Ia hebat bukan,” katanya. – AFP