Kucing temui anak damit dibuang dalam semak

KOTA BHARU, 22 JULAI – Seekor kucing peliharaan menjadi penyelamat, apabila menjumpai seorang anak damit perempuan yang masih bertali pusat yang dipercayai dibuang di dalam semak, di Jalan Bayam di sini, hari ini.

Pemilik kucing berkenaan, Mohd Norazam Che Wahab, 31, memang menjadi rutin harian beliau melepaskan kucingnya itu setiap pagi, di kawasan berdekatan rumahnya.

Beliau berkata sebaik dilepaskan kucingnya itu terus meluru melintas jalan dan seolah-olah mencari sesuatu di dalam semak kira-kira pukul 8:10 pagi.

“Saya yang bimbang dengan keselamatan kucing terus bergegas sama melintas jalan dan tiba-tiba terdengar seakan-akan suara anak damit kecil.

“Ketika itu saya berfikir dari mana suara itu kerana tiada jiran berdekatan mempunyai anak damit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mohd Norazam berkata selepas itu beliau bersama-sama kucingnya terus mengintai-intai di sekitar kawasan semak dan menemui seorang anak damit dalam keadaan masih dipenuhi darah dan bertali pusat. – Bernama