NEW YORK, 25 NOV – Jangan tuduh kakitangan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) tidur-tidur ayam ketika menjalankan tugas!.
Apabila seorang pegawai di lapan terbang John F Kennedy, New York ternampak sejambak bulu warna jingga terjulur keluar dari beg pakaian yang terbuka sedikit, ia membuatnya berfikir dua kali.
Ketika beg itu melalui unit sinar-X, pegawai TSA amat terkejut apabila ia menunjukkan empat kaki dan ekor seekor kucing dalam bagasi tersebut.
“Kucing itu sudah dikeluarkan dari beg,” kata jurucakap TSA.
Penumpang berkenaan dipanggil supaya kembali ke kaunter tiket selepas kucing itu ditemui, kata jurucakap Lisa Farbstein, dalam e-mel.
“Penumpang itu berkata kucing itu milik seorang ahli dalam keluarga, membayangkan dia tidak sedar bahawa kucing itu ada dalam beg pakaian,” kata Farbstein.
“Kami anggapnya satu tangkapan yang luar biasa,” ujarnya.
Kucing itu, dikenal pasti oleh New York Post sebagai ‘Smells’ sudah dikembalikan kepada tuannya.
Dia memberitahu Post bahawa Smells mungkin telah merangkak masuk dalam beg pakaian seorang kawan yang datang melawat. Dia tidak tahu kucingnya hilang sehingga pegawai lapangan terbang menghubunginya. – AP
