Kucing terperangkap dalam enjin kereta diselamatkan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Seekor kucing yang terperangkap di dalam ruangan enjin sebuah kereta bukan sahaja berjaya diselamatkan atas kecekapan anggota bomba dan penyelamat dalam kejadian di Kuala Belait tetapi juga menemui kediaman dan tuan baharunya kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, tiga orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh ASO Rosli bin Sabli dari Balai Bomba Kuala Belait dikejarkan bagi menyelamatkan kucing itu di kawasan letak kereta di Kuala Belait pada jam 11:11 pagi.

Anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati seekor anak kucing berada di dalam enjin kereta jenis SUV kepunyaan seorang wanita warga tempatan.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak menggunakan snare catcher untuk menyelamatkan kucing berkenaan dan seterusnya menyerahkan kucing itu kepada orang awam yang ingin memeliharanya.

Kucing itu juga tidak mendapat sebarang kecederaan akibat kejadian berkenaan.

JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kenderaan mereka dalam keadaan selamat dan tiada haiwan berada dalam enjin sebelum menggunakannya serta pemilik haiwan sentiasa memastikan haiwan peliharaan berada di tempat yang selamat dan bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan itu.

Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hendaklah menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba menenteramkan kucing yang berjaya diselamatkan.
Anggota bomba dan penyelamat berusaha untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap dalam ruangan enjin sebuah kereta di Kuala Belait, kelmarin.