Kucing terselamat selepas larikan diri

MERRIMACK, 13 SEPT – Seekor kucing Afrika seberat 18 kilogram bernama Spartacus telah ditemui selamat selepas melepaskan diri dari rumahnya dan menghabiskan beberapa hari di hutan New Hamshire.

Kucing itu ‘terperangkap berhampiran rumahnya dan berada dalam keadaan sihat,” kata polis Merrimack di Facebook baru-baru ini. Haiwan itu telah dipulangkan kepada tuannya, Dean King, yang sebelum ini memberitahu The Associated Press bahawa Spartacus telah melarikan diri pada Rabu selepas ditakutkan oleh anjing keluarga.

King mengambil Spartacus dari zoo Florida empat tahun lalu. Gambar menunjukkan kucing panjang berwarna keperang-perangan dengan bintik hitam dan mempunyai telinga panjang berbentuk bulat di atas. Satu gambar Spartacus dengan tangannya di atas kaunter dapur, mengintai alat pembuat kopi, telah tular di media sosial.

Keluarga itu memiliki kucing itu secara sah dan mempunyai permit dari jabatan perikanan dan perhutanan negeri, kata polis. Spartacus tinggal dalam rumah, menghabiskan seharian dalam kurungan dan merayau-rayau dalam rumah keluarga pada waktu malam.

Panggilan dan e-mel kepada King tidak dibalas semalam. Isterinya Lisa King menyiar video Spartacus bertenggek dalam kurungannya semalam dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan mereka.

“Saya amat rapat dengan kucing ini,” tulisnya di Facebook. – AP

Gambar yang diberikan oleh Dean King menunjukkan Spartacus, kucing eksotik Afrika, berdiri untuk melihat alat pembuat kopi di rumahnya di Merrimack. – AP