Kucing tersepit berjaya diselamatkan anggota JBP

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Tugas anggota bomba dan penyelamat bukan hanya untuk menyelamatkan orang yang dalam kecemasan tetapi wira-wira berkenaan juga tidak kurang tampil ke hadapan untuk menyelamatkan haiwan yang memerlukan bantuan.

Ini dapat dilihat apabila seramai lima orang anggota dari Balai Bomba Rimba yang diketuai oleh ASO Pengiran Hassanal bin Pengiran Haji Mat Jair menyelamatkan seekor kucing yang tersepit di kawasan Kampung Rimba pada pukul 1:35 petang, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini, kelmarin, di tempat kejadian berkenaan, anggota bomba mendapati kepala seekor kucing tersepit di lubang pagar di tingkat dua sebuah flat.

Anggota bomba menggunakan kaedah teknik kebombaan firemanship untuk menyelamatkan kucing berkenaan dengan melalui tingkap dari ruang dapur penghuni rumah itu.

Pemilik kucing disarankan untuk membawa kucing tersebut ke klinik haiwan bagi pemeriksaan lanjut, dikhuatiri mengalami kecederaan. Operasi itu mengambil masa 15 minit.

JBP menyarankan orang ramai supaya mengawasi kucing dalam keadaan selamat atau disimpan dalam sangkar, hendaklah bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan dan jangan membuang di tempat yang terbiar atau merata tempat yang boleh membahayakan nyawa binatang tersebut.

Jika berlaku insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota JBP berjaya menyelamatkan kucing yang tersepit dengan melalui tingkap dari ruang dapur penghuni rumah itu. – Gambar serahan JBP